Tuesday, 1 December 2015

Ulasan Jurnal 9

a)        Tajuk       : Pencapaian Bahasa dan Matematik dalam kalangan Pelajar Bandar dan Luar
                            Bandar : Pengalaman Rakyat Malaysia
Penulis    : Parmjit Singh, Arba Abdul Rahman, Teoh Sian Hoon

Sumber   : Journal of Science and Mathematics Education in Southest Asia 2010, Vol.33                   No. 1,65-85

Jurnal ini bertujuan untuk mengkaji hubungan pencapaian Matematik dalam kalangan pelajar di bandar dan di luar bandar serta pengaruh PPSMI dalam pencapaian pelajar. Sampel yang digunakan adalah seramai 93 orang pelajar dari sekolah bandar dan 93 orang pelajar dari sekolah luar bandar. Instrumen yang digunakan penulis dalam kajian ialah kertas soalan untuk Bahasa Inggeris (EMT) dan kertas soalan untuk dwibahasa, iaitu gabungan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (EBMMT). Hasil dari kajian mendapati kelemahan pelajar dalam pencapaian Matematik tidak banyak dipengaruhi oleh bahasa yang digunakan dalam kertas peperiksaan.

Persoalan pertama yang dibincangkan penulis ialah perbezaan markah dalam ujian EMT dan EBMMT dalam kalangan pelajar di bandar. Hasil kajian menunjukkan tiada perbezaan markah yang signifikan untuk kedua-dua ujian bagi pelajar di kawasan ini. Penulis berpendapat pencapaian yang rendah dalam kalangan pelajar di bandar tidak boleh disebabkan faktor bahasa. Seterusnya, kajian ini dijalankan kepada pelajar sekolah luar bandar. Daripada hasil kajian, terdapat perbezaan markah yang signifikan dalam ujian EMT dan EBMMT, dimana pencapaian ujian EBMMT adalah lebih tinggi berbanding ujian EMT. Penulis berpendapat pencapaian Matematik pelajar di luar bandar dipengaruhi oleh faktor bahasa. 

Selain itu, persoalan tentang perbezaan markah ujian EMT antara pelajar di luar bandar dan di bandar terjawab dengan hasil kajian yang mendapati terdapatnya perbezaan yang signifikan. Pencapaian Matematik bagi pelajar di bandar didapati lebih tinggi berbanding pelajar di luar bandar. Penulis berpendapat bahawa perbezaan pencapaian dalam kalangan pelajar adalah disebabkan faktor lokasi.

            Pada pendapat saya, jurang pencapaian dalam kalangan pelajar di bandar dan di luar bandar tidak boleh dipandang enteng oleh pihak yang bertanggungjawab. Salah satu faktor adalah mungkin disebabkan kurangnya kemudahan di kawasan luar bandar seperti akses internet yang menghadkan cara pembelajaran pelajar di luar bandar. Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini hendaklah dibincangkan agar jurang ini dapat dikurangkan.

No comments:

Post a Comment