Thursday, 3 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 5 :  Faktor-Faktor yang Menyebabkan Stress dalam Kalangan Guru Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Daerah Johor Bahru
Azizi Yahaya & Norliza Othman

Dasar-dasar pembaharuan dan reformasi pendidikan bukan sahaja memberi kesan yang positif malahan juga membawa pelbagai masalah baru dalam konteks pembinaan bangsa dan negara. Selain pelajar, golongan guru merupakan antara pihak yang terlibat secara langsung dalam setiap pembaharuan dalam sistem pendidikan. Mereka perlu menggalas tanggungjawab dalam memastikan setiap matlamat dan objektif yang ditetapkan pihak kerajaan dapat dicapai. Perkara ini sekaligus menyebabkan guru-guru mengalami tekanan pada tahap yang tinggi.

            Faktor-faktor yang menyumbang kepada stress dalam kalangan guru dibincangkan dalam bab ini. Faktor-faktor ini dibahagikan kepada beberapa aspek utama iaitu bebanan kerja, disiplin pelajar, hubungan interpersonal dengan rakan sekerja, persekitaran kerja dan reformasi pendidikan. Penulis telah membuat kajian terhadap sebilangan guru dalam mencari faktor yang menjadi penyumbang terbesar kepada stress dalam kalangan mereka. Hasil kajian menunjukkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar merupakan faktor utama guru-guru berasa stress. Faktor kedua ialah reformasi pendidikan, diikuti bebanan kerja dan seterusnya faktor persekitaran pekerja dan hubungan interpersonal antara guru di tahap yang rendah.

Terdapat perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan perempuan dengan faktor masalah disiplin pelajar dan hubungan interpersonal dalam kalangan mereka manakala tidak terdapat perbezaan yang signifikan bagi faktor-faktor lain mengikut jantina guru. Dari aspek lokaliti, terdapat perbezaan yang signifikan antara guru-guru di sekolah luar bandar dan bandar dengan faktor reformasi pendidikan sahaja. Manakala, untuk empat faktor guru stress yang lain tidak mempunya perbezaan yang signifikan dengan lokasi sekolah guru-guru berkenaan. Dari aspek pengalaman bekerja yang dimiliki guru-guru, hanya terdapat perbezaan yang signifikan antara pengalaman mengajar dengan masalah disiplin pelajar sahaja. Bagi faktor-faktor lain, pengalaman mengajar tidak mempengaruhi tahap stress yang dihadapi guru-guru. Hal yang sama turut dilihat apabila kajian dibuat mengikut aspek umur guru. Hanya tahap stress disebabkan masalah disiplin pelajar berbeza dalam kalangan guru mengikut umur guru tersebut.

Dalam bab ini, penulis turut mengutarakan beberapa cadangan untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru. Terdapat beberapa pihak perlu memainkan peranan dalam hal ini seperti pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, guru-guru, pentadbir sekolah serta rakan-rakan sejawat. Pihak kerajaan perlu menangani masalah stress dalam kalangan guru ini dengan menganjurkan bengkel-bengkel, seminar atau kursus-kursus yang boleh membantu guru untuk melancarkan pekerjaan harian sekaligus dapat mengurangkan kadar stress dalam diri setiap guru. Kaedah pengurusan stress yang meliputi cara mengurus masa, kemahiran berkomunikasi dan cara mengurus pelajar yang tidak berdisiplin juga perlu didedahkan. Galakan perlu diberikan kepada guru untuk menyertai aktiviti-aktiviti sukan bagi memastikan stress yang dihadapi tidak memberi impak kepada kesihatan guru-guru.

Selain itu, guru-guru juga perlu mempunyai kesedaran akan kepentingan dan kebaikan yang dilakukan pihak kerajaan terhadap sistem pendidikan negara. Motivasi yang tinggi dan fikiran yang positif perlu dipupuk dalam diri guru itu sendiri untuk mencapai matlamat dan objektif pendidikan negara. Hal ini dapat mempertingkatkan semangat mengajar dan sekaligus rasa stress yang dihadapi dapat dikurangkan. Guru-guru perlu meningkatkan usaha untuk bergerak seiring dengan reformasi pendidikan yang dilaksanakan. Kelemahan diri seperti lemah dalam Bahasa Inggeris dan lemah dalam penggunaan ICT perlu diatasi. Pihak pentadbir sekolah pula bertanggungjawab untuk menyediakan kelengkapan yang cukup dan memastikan persekitaran sekolah dalam keadaan yang ceria. Persekitaran yang baik bukan sahaja dapat memupuk semangat dalam diri guru, bahkan juga pelajar. Rakan-rakan sejawat pula perlulah memainkan peranan untuk saling tolong-menolong antara satu sama lain. Persefahaman yang jitu antara guru-guru akan mewujudkan rasa selesa untuk menjalankan tugas seharian.

Kesimpulannya, masalah disiplin dalam kalangan pelajar menjadi faktor dominan yang menyebabkan stress dalam kalangan guru-guru. Pihak yang paling bertanggungjawab dalam memastikan pelajar-pelajar berdisiplin bukan pihak guru atau sekolah tetapi pihak ibu bapa. Pihak ibu bapa hendaklah memberi kerjasama dengan pihak sekolah dalam membentuk peribadi anak-anak mereka. Sikap menangkan anak hanya mendorong sikap besar kepala dalam diri anak-anak.
           
           


No comments:

Post a Comment