Tuesday, 1 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 3 :  Tahap Penguasaan Kemahiran Manipulatif di Kalangan Guru Pelatih Kimia Universiti Teknologi Malaysia
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Fathiah Mohamed@Mohd Zamani

Proses pengajaran dan pembelajaran adalah lebih berkesan apabila ia melibatkan interaksi antara guru dan pelajar. Salah satu pendekatan yang bagus dalam proses pembelajaran Sains adalah menerusi pengalaman sendiri seseorang pelajar di mana pendekatan ini mengutamakan pendekatan inkuiri dan penemuan. Selain memberi peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan masalah secara penyelidikan, kaedah ini juga mampu melahirkan pelajar yang berkemahiran saintifik dan berkemahiran manipulatif. Sebagai tenaga pengajar, kemahiran-kemahiran yang hendak dititikberatkan dalam diri para pelajar haruslah dikuasai terlebih dahulu.

            Dalam bab ini, perbincangan mengenai tahap penguasaan kemahiran manipulatif dalam kalangan bakal guru meliputi kemahiran mengguna dan mengendali peralatan dan bahan Sains dengan betul, kaedah menyimpan peralatan dan bahan Sains dengan betul dan selamat, kemahiran membersihkan peralatan Sains dengan betul, kemahiran mengendali spesimen dengan betul dan cermat serta kemahiran melakar spesimen, peralatan dan bahan Sains dengan tepat. Secara keseluruhannya, terdapat empat aspek penting yang boleh diukur dalam mengenalpasi tahap kemahiran manipulatif dalam kalangan guru pelatih iaitu aspek pengendalian peralatan Sains, aspek pengendalian bahan kimia, teknik penggunaan peralatan kimia dan teknik amali.

            Tahap penguasaan kemahiran manipulatif dari aspek pengendalian peralatan Sains adalah tinggi. Dalam aspek ini, beberapa tahap pengendalian peralatan Sains dapat dikenalpasti. Antaranya, kemahiran guru-guru pelatih untuk membuat pemasangan radas, penggunaan penyepit, termometer, spatula dan kasa dawai semasa proses pemanasan adalah di tahap yang yang tinggi. Namun, mereka didapati kurang mahir untuk mengendalikan penunu bunsen dan kemahiran menggunakan buret dan pipet. Manakala kemahiran guru-guru pelatih dari aspek pengendalian bahan kimia juga adalah di tahap yang tinggi. Ini bermaksud para guru pelatih mampu mengenalpasti tujuan memastikan label botol reagen berada di atas semasa memindahkan larutan tersebut ke dalam bikar, menggunakan kebuk wasap serta mahir mengendalikan bahan kimia berkepekatan tinggi dan sisa bahan kimia.

            Teknik-teknik dalam mengendalikan peralatan kimia juga berjaya dikuasai oleh bakal-bakal guru ini. Teknik untuk menggunakan termometer, pipet serta teknik membersihkan peralatan-peralatan kimia adalah pada tahap yang baik. Namun, teknik mengendalikan larutan yang berbaki di hujung pipet adalah pada tahap yang sederhana. Bagi teknik penyalaan penunu bunsen, lubang udara telah dipastikan tertutup terlebih dahulu sebelum melaraskan secara perlahan untuk mendapatkan nyalaan biru. Tahap yang sederhana juga dikenalpasti bagi kemahiran guru-guru pelatih untuk memindahkan bahan pepejal yang melekat pada spatula ke piring kaca.

            Penguasaan teknik amali dalam kalangan guru pelatih secara keseluruhannya berada di tahap sederhana. Antara pemerhatian yang dilihat ialah kelalang kon dialas dengan menggunakan jubin putih, teknik pencairan asid atau alkali pekat dan teknik pembilasan larutan yang terpercik di bahagian dalam kelalang kon semasa pentitratan dilakukan dengan baik dan teknik bacaan dalam proses pentitratan juga dilakukan dengan betul.Namun, teknik pemplotan graf yang tepat dan teknik pengendalian pili yang sukar dibuka tidak dikuasai dengan baik. Penguasaan pada tahap yang sederhana juga ditunjukkan untuk teknik pengawalan pili buret semasa pentitratan.

            Pemerhatian terhadap penguasaan kemahiran manipulatif dari pelbagai aspek ini adalah bertujuan untuk memberi gambaran dan kesedaran kepada bakal-bakal guru tentang kelemahan-kelamahan yang dimiliki dari aspek tertentu. Ini membolehkan guru-guru pelatih ini memperbaiki dan meningkatkan kemahiran sebelum memikul tanggungjawab untuk menerapkan kemahiran-kemahiran ini dalam diri pelajar mereka. Penguasaan yang baik dalam kemahiran manipulatif mampu memberikan impak positif kepada bakal pelajar yang diajar mereka nanti.


No comments:

Post a Comment