Wednesday, 2 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 4 : Pelaksanaan Kurikulum Kimia KBSM di Kalangan Guru-Guru Pelatih Jurusan Kimia di UTM
Azizi Yahaya & Junaidah Mohamad Hasan

Kurikulum Kimia KBSM adalah merupakan kurikulum baru yang telah disemak semula pada tahun 2002. Dalam kurikulum ini, pendekatan pengajaran dan pembelajaran melibatkan proses pemerolehan pengetahuan dan penguasaan kemahiran secara bersepadu dengan mengambil kira serta memanfaatkan kecerdasan yang pelbagai. Pendekatan ini merangkumi pendekatan konstruktivisme, penglibatan pelajar secara aktif, penggunaan kemahiran berfikir secara berfikrah, pengoperasian dan aplikasi saintifik di samping pembentukan sikap saintifik dan nilai murni.

            Dalam bab ini, penulis membincangkan perlaksanaaan kurikulum Kimia KBSM dari aspek kemahiran saintifik, kemahiran berfikir dan juga penerapan nilai-nilai murni dalam sesi pengajaran. Perbincangan ini difokuskan kepada skop keperluan dan tahap prestasi latihan mengajar oleh guru-guru pelatih berdasarkan aspek-aspek tersebut. Menurut kajian penulis, guru-guru pelatih lebih menekankan kemahiran saintifik iaitu kemahiran menguasai konsep-konsep dalam matapelajaran Kimia berbanding kemahiran berfikir dan penerapan nilai murni dalam sesi pengajaran. Kemahiran saintifik diterapkan melalui aktiviti amali yang dilakukan di dalam kelas. Aktiviti-aktiviti yang boleh menerapkan kemahiran berfikir memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan. Oleh itu, guru-guru pelatih sukar untuk menerapkan kemahiran tersebut dalam sesi pengajaran. Manakala, nilai-nilai murni diterapkan melalui proses-proses spontan seperti meminta pelajar untuk membantu rakan menyelesaikan masalah dan sebagainya.

            Prestasi latihan mengajar dalam kalangan guru pelatih dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti aspek-aspek dalam Kurikulum Kimia KBSM dan masalah-masalah yang dihadapi guru pelatih sewaktu latihan mengajar di sekolah diadakan. Dari aspek kemahiran saintifik, guru pelatih yang berprestasi bagus mampu menerapkan kemahiran ini dalam kalangan pelajar. Apabila kemahiran saintifik dikuasai guru pelatih, pelbagai kaedah dan pendekatan mampu digunakan dalam sesi pembelajaran dan sekaligus meningkatkan tahap keyakinan guru untuk mengajar. Penekanan yang kurang diberikan dalam menerapkan kemahiran berfikir disebabkan faktor masa latihan mengajar yang kebiasaannya pada hujung tahun. Guru pelatih diberi tekanan oleh pihak sekolah untuk menghabiskan silibus kerana peperiksaan akhir yang perlu ditempuhi para pelajar. Penerapan nilai murni dalam matapelajaran Kimia turut kurang diberikan tekanan kerana kurangnya penekanan dari pihak sekolah dan anggapan bahawa nilai murni telah diajar dalam Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam.

            Beberapa masalah yang dihadapi guru pelatih sewaktu latihan mengajar turut dibincangkan dalam bab ini. Antara masalah yang sering berlaku dalam kalangan guru pelatih ialah masalah kekurangan alat radas dan bahan kimia di sekolah, masalah dengan pihak sekolah dalam menjalankan aktiviti dan masalah kesediaan diri guru-guru pelatih untuk mengajar di dalam kelas. Masalah kekurangan alat radas dan bahan kimia agak memberi kesan kepada prestasi latihan mengajar seseorang guru pelatih. Hal ini kerana aktiviti yang dirancang dalam sesi pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan ekoran dari kekurangan alat-alat tersebut. Tambahan pula, penggunaan alat radas ini sebagai bahan bantu mengajar dapat memberi gambaran yang jelas kepada pelajar terhadap alatan sebenar yang dipelajari mereka.

Masalah yang dihadapi guru pelatih dengan pihak pentadbiran sekolah juga mampu mempengaruhi prestasi latihan mengajar mereka. Sikap sesetengah pihak sekolah yang memberikan kerja yang tidak masuk akal dan mengambil kesempatan terhadap guru pelatih memberi tekanan dari segi emosi sekaligus mengakibatkan prestasi mengajar adalah pada tahap sederhana. Masalah kesediaan diri dalam kangan guru pelatih akan mempengaruhi corak pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan. Guru pelatih yang tidak bersedia untuk mengajar akan sentiasa berasa kurang selesa dan sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Hal ini akan menimbulkan tekanan kepada guru pelatih tersebut sekaligus akan menjejaskan prestasi latian mengajar mereka.

Secara keseluruhannya, bab ini telah memberikan gambaran tentang kesedaran terhadap perlaksanaan Kurikulum Kimia dalam kalangan guru-guru pelatih. Aspek kemahiran saintifik masih menjadi tumpuan guru-guru pelatih berbanding kemahiran berfikir dan nilai murni yang sangat penting untuk menghasilkan generasi berdaya saing menjelang 2020. Tulisan ini hendak memberi kesedaran kepada pihak sekolah untuk menekankan aspek-aspek dalam Kurikulum Kimia agar matlamat pendidikan Kimia dapat dicapai.


No comments:

Post a Comment