BAB 9 :
Menyingkap Sikap Pelajar Terhadap Subjek Matematik di Sekolah Menengah
Kebangsaan
Zuhaimy Ismail
Zuhaimy Ismail
Pengaruh sikap pelajar terhadap pencapaian Matematik adalah perkara yang
tidak boleh dinafikan lagi. Pelajar yang bersikap positif ialah pelajar yang
boleh mengikuti pelajarannya secara aktif manakala sikap negatif dikaitkan
dengan pelajar yang kurang mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran. Guru
memainkan peranan penting dalam mengenali sikap pelajar terhadap suatu
matapelajaran kerana sikap yang negatif boleh menyebabkan pelajar itu tidak
mencapai keputusan yang baik dalam ujian penilaian.
Penulis membincangkan
tentang sikap pelajar berdasarkan faktor-faktor demografi pelajar tersebut
seperti jantina, bangsa, aliran persekolahan, tempat tinggal, tahap pendidikan
ibu bapa, pekerjaan bapa dan pendapatan ibu bapa. Perbincangan ini akan
memberikan gambaran kepada guru-guru untuk mengenali sikap pelajar dengan lebih
mudah. Secara keseluruhan, kajian mendapati sikap pelajar terhadap Matematik
adalah positif. Pelajar-pelajar menyedari akan kepentingan Matematik namun
mereka mempunyai persepsi bahawa Matematik adalah matapelajaran yang sukar.
Penglibatan mereka dalam sesi pembelajaran turut memberikan peratusan yang
rendah.
Pelajar perempuan didapati
mempunyai sikap yang lebih positif dari pelajar lelaki. Hal ini bersesuaian
dengan teori Judith Batler (1991) yang mengatakan jantina mempunyai pengaruh
terhadap tingkah laku seseorang pelajar tersebut. Pelajar berbangsa Cina dan
India pula didapati lebih cenderung kepada matapelajaran Matematik berbanding
pelajar berbangsa Melayu dan lain-lain. Dari aspek perbezaan aliran iaitu
antara pelajar beraliran Sains dan pelajar bukan aliran Sains, tiada perbezaan
yang signifikan dapat dilihat dalam menilai sikap mereka terhadap Matematik.
Hal ini menunjukkan minat mereka terhadap Sains tidak mempengaruhi sikap mereka
terhadap Matematik.
Latar belakang keluarga
pelajar secara keseluruhannya mempengaruhi sikap seseorang pelajar. Aspek-aspek
latar belakang yang dimaksudkan ialah seperti tempat tinggal pelajar, pekerjaan
bapa, tahap pendidikan ibu bapa, dan pendapatan ibu bapa. Pelajar yang tinggal
di bandar mempunyai sikap yang lebih positif daripada pelajar yang tinggal di
luar bandar. Hal ini mungkin disebabkan infrastruktur dan kemudahan yang ada di
kawasan tempat tinggal memberi motivasi dan kesedaran yang lebih tinggi kepada
mereka untuk mempelajari Matematik. Bapa yang bekerja sebagai pegawai atau
kakitangan swasta mempengaruhi anak-anak untuk bersikap lebih positif
berbanding bapa yang berkerja sebagai buruh dan teknikal serta bapa yang tidak
mempunyai pekerjaan tetap. Selain itu, tahap pendidikan ibu bapa turut
memainkan peranan dalam mempengaruhi sikap pelajar. Ibu bapa yang belajar ke
peringkat universiti mampu memberikan contoh dan semangat kepada anak-anak
untuk mempelajari Matematik berbanding ibu bapa yang tidak mendapat pendidikan
secara formal. Pendapatan ibu bapa dikait rapat dengan persediaan pelajaran
kepada anak-anak mereka. Persediaan yang rapi dari segi buku-buku rujukan dan
kemudahan seperti komputer dan internet di rumah menentukan sikap seseorang
pelajar terhadap pelajaran, khususnya Matematik.
Dalam bab ini juga,
penulis memberikan beberapa cadangan kepada pihak sekolah dan guru setelah
mengenalpasti sikap pelajar berdasarkan ciri-ciri demografi tersebut. Bagi
pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan,
guru-guru memainkan peranan untuk memberi motivasi dan pendedahan terhadap
kepentingan Matematik. Sokongan dari segi kemudahan juga perlu dipertimbangkan
oleh pihak sekolah. Program-program pendedahan tentang kepentingan pelajaran
kepada ibu bapa pelajar-pelajar ini juga penting agar pelajar ini mendapat
sokongan yang padu dari semua pihak. Selain motivasi dan pendedahan oleh guru,
guru juga perlu kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran serta memastikan
sesi pembelajaran yang efektif. Pendekatan secara konstruktivisme dipercayai
mampu meningkatkan minat pelajar untuk mempelajari sesuatu perkara.
Kesimpulannya, perkara
yang paling utama dalam memastikan kejayaan seseorang pelajar sekaligus
mencapai matlamat kurikulum pendidikan negara adalah dengan memupuk sikap yang
positif dalam kalangan pelajar. Seseorang pelajar yang mempunyai motivasi yang
tinggi dan persepsi yang bagus terhadap sesuatu perkara akan berusaha untuk
mencapai perkara yang diingininya. Oleh itu, semua pihak adalah
bertanggungjawab untuk memupuk sikap positif pelajar dalam pelajaran mereka.
No comments:
Post a Comment