BAB 7 : Pengajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Farah Asnida Che Shariff
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Farah Asnida Che Shariff
Bab ini
membincangkan tentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris, iaitu satu dasar yang telah diperkenalkan oleh bekas
Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 2003. Dasar ini
merupakan satu usaha pihak kerajaan dalam mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk
membina satu tamadun dan masyarakat maju bertaraf dunia dan turut menekankan
aspek kemajuan industri berasaskan kemajuan ilmu Sains dan Teknologi dan juga
taraf pendidikan tinggi.
Kesedaran terhadap kepentingan
komunikasi dalam mengharungi cabaran globalisasi yang memerlukan negara mampu
bersaing dengan negara-negara luar dalam segi ekonomi, penguasaan bahasa utama
dunia iaitu Bahasa Inggeris dilihat menjadi semakin penting. Bahasa ini telah
menjadi bahasa perantaraan ilmu dan keseluruhan maklumat tentang penemuan baru
dalam bidang Sains dan Teknologi adalah dalam Bahasa Inggeris. Tanpa penguasaan
yang baik dalam bahasa ini mampu memberi kesan yang buruk terhadap tahap
ekonomi negara. Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris telah
dicadangkan sejak tahun 1993 namun isu bahasa ini semakin panas apabila ramai
graduan IPT gagal mendapat pekerjaan disebabkan kelemahan dalam berbahasa dunia
ini. Justeru itu, pihak Kementerian Pendidikan bersepakat untuk melaksanakan
dasar PPSMI ini.
Kesediaan guru dalam melaksanakan
dasar PPSMI dibincangkan dalam bab ini. Peranan guru dalam memastikan sesuatu
dasar yang dilaksanakan kerajaan berkesan adalah sangat besar. Guru perlu
melengkapkan diri dengan kefahaman, kemahiran, pengetahuan perguruan serta
kepakaran sebagai guru Sains dan Matematik. Guru juga perlu mempunyai
keyakinan, kemampuan dan persediaan dari segi emosi untuk memastikan
keberkesanan pengajaran mereka. Kaedah pengajaran guru juga perlu dipelbagaikan
dan melibatkan pelajar untuk berinteraksi dalam kelas. Dengan persediaan yang
cukup, guru akan menjadi lebih yakin untuk menyampaikan maklumat kepada
pelajar. Keyakinan ini akan membantu guru untuk melaksanakan kaedah pengajaran
yang kreatif dan inovatif.
Namun, terdapat banyak cabaran yang
dihadapi guru dalam menyampaikan pelajaran dalam Bahasa Inggeris. Penguasaan
Bahasa Inggeris yang rendah dalam kalangan guru menyukarkan mereka untuk
menyampaikan pelajaran dengan lancar. Selain itu, penggunaan Bahasa Inggeris
yang tidak tepat berkebolehan untuk menimbulkan salah faham pelajar terhadap
pelajaran yang disampaikan guru tersebut. Masalah juga timbul apabila
pelajar-pelajar terdiri daripada golongan yang lemah dalam Bahasa Inggeris.
Mereka tidak dapat memahami maklumat yang disampaikan guru menyebabkan guru
terpaksa mengulang sesi pengajaran dalam bahasa yang difahami mereka. Selain
itu, pelajar juga menghadapi masalah untuk mempersembahkan idea mereka kepada
guru selepas sesi perbincangan kerana halangan bahasa.
Pihak kerajaan telah menyediakan
keperluan pengajaran yang lengkap termasuk aspek penyediaan kurikulum,
perisian, penyediaan buku teks, perkakasan teknologi dan maklumat (ICT) dan
latihan-latihan untuk guru-guru. Bahan-bahan sokongan serta alat bantu mengajar
(ABM) turut disediakan bagi membantu guru untuk menyampaikan pengajaran dengan
kaedah-kaedah yang menarik. Peruntukan yang besar telah dikeluarkan demi
memastikan menyiapkan negara untuk bersaing dengan negara-negara luar. Secara
keseluruhannya, dasar ini dilihat sebagai langkah yang positif dalam membantu
masyarakat untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. Namun, terdapat banyak
cabaran yang perlu dikaji terutamanya masalah guru dalam melaksanakan dasar ini
agar tidak mempunyai sebarang konfliks.
No comments:
Post a Comment