Thursday, 10 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 8 :   Masalah dan Gaya Pembelajaran Pelajar Terhadap Subjek Kimia
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Irma Syah Binti Salim

Kurikulum Kimia menekankan pembelajaran berfikrah yang berterasakan kemahiran berfikir dan kemahiran saintifik. Kefahaman konsep dalam Kimia merupakan perkara yang penting untuk seseorang pelajar mencapai kecemerlangan. Penguasaan konsep Kimia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kebolehan pelajar dalam komunikasi, menyelesaikan masalah serta sikap pelajar terhadap matapelajaran itu sendiri. Dalam kurikulum Kimia, sikap pelajar yang negatif akan mempengaruhi pemahaman mereka tentang sesuatu konsep dan fakta tentang Kimia. Faktor-faktor yang menyebabkan pelajar mengalami masalah pembelajaran dari aspek penguasaan bahasa, kerangka alternatif dan sikap pelajar serta gaya pembelajaran berdasarkan model pembelajaran Honey dan Munford (1992) dibincangkan dalam bab ini.
            Dari aspek penguasaan bahasa, pelajar yang mempunyai tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa teknikal akan menyebabkan kesukaran untuk pelajar tersebut memahami konsep-konsep dalam matapelajaran Kimia. Selain itu, penggunaan simbol dan pengistilahan yang tidak konsisten dalam matapelajaran ini juga menyebabkan pelajar salah konsep di mana idea dan konsep yang disampaikan guru adalah bertentangan dengan konsep yang dimiliki. Dari aspek pemahaman yang diperolehi pelajar tentang fenomena alam berdasarkan pengalaman sendiri, iaitu kerangka alternatif turut menyumbang kepada masalah pembelajaran Kimia. Pelajar yang mempunyai pra-idea terhadap sesuatu fenomena yang berlaku akan membentuk kerangka alternatif dan pemahaman tersebut akan mempengaruhi konsep sebenar yang diajar guru. Sikap dan persepsi seseorang pelajar terhadap suatu pelajaran akan mendorong motivasi mereka untuk mempelajari pelajaran tersebut. Sikap pelajar terhadap Kimia dipengaruhi oleh faktor minat, beban kerja, pengalaman, persediaaan dan persekitaran serta kaedah pengajaran guru.
            Bagi membantu pelajar menguasai matapelajaran Kimia dengan baik, guru hendaklah menguasai teori pembelajaran bagi memahami proses pembelajaran yang berlaku dalam diri pelajar. Terdapat beberapa teori pembelajaran yang boleh dijadikan rujukan guru, antaranya ialah teori pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, behaviorisme dan kognitif. Teori pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang menumpukan kepada persekitaran pembelajaran di mana isi kandungan pelajaran dikaitkan dengan situasi dunia sebenar. Teori konstruktivisme pula merupakan kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar di mana guru bertindak sebagai fasilitator dan membantu pelajar untuk menghasilkan idea terhadap sesuatu pembelajaran berdasarkan pengalaman pelajar. Teori behaviorisme pula berorientasikan tingkahlaku pelajar yang berkonsepkan rangsangan gerak balas, pengubahsuaian tingkah laku, kecekapan asas, dan kemahiran dalam suatu pembelajaran. Manakala teori pembelajaran kognitif menumpukan kepada kaedah pemikiran pelajar di mana seorang pelajar itu mampu mengelola, menyusun dan mengeluarkan semula pengalaman mereka.
Gaya pembelajaran seseorang pelajar juga merupakan faktor penting untuk menentukan pencapaian pelajar. Terdapat beberapa gaya pembelajaran yang telah dikenalpasti seperti gaya pembelajaran aktivis, refraktor, teoris dan pragmatis. Gaya pembelajaran aktivis merujuk kepada pelajar yang bersifat kreatif dan gemar mencari pengalaman baru. Pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran ini lebih gemar melakukan aktiviti penyelesaian masalah. Gaya pembelajaran refraktor pula terdiri daripada pelajar yang suka berfikir. Pelajar ini mempunyai kemahiran dalam mengumpul dan menganalisis maklumat jadi suatu keputusan akan dibuat dengan mengambil masa yang lama. Manakala individu yang sentiasa melihat pandangan atau idea dari semua sudut dan aspek agar situasi sebenar dapat dilihat dengan jelas adalah pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran teoris dan kegiatan mengaplikasikan idea ke dalam situasi sebenar adalah gaya pembelajaran pragmatis.
Kesimpulannya, perkembangan yang pesat dalam bidang Sains terutamanya Kimia memerlukan generasi yang mahir dalam konsep Kimia. Generasi yang dimaksudkan ialah pelajar-pelajar yang bakal menjadi pelapis kepada cendiakawan sekarang. Oleh itu, memastikan pencapaian yang cemerlang dalam Kimia adalah peranan besar seorang guru. Mengenalpasti gaya pembelajaran pelajar membolehkan guru-guru untuk menggunakan kaedah pengajaran yang sesuai sekaligus meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep Kimia.
           


No comments:

Post a Comment