PERMASALAHAN
DALAM PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK
Buku
yang bertajuk “Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik” ini merupakan
perkongsian ilmu melalui dapatan kajian-kajian yang telah dijalankan secara
berterusan berkenaan dengan matapelajaran Sains dan Matematik. Hasil-hasil
kajian dari beberapa orang penulis seperti Fadhlina Mohd Azizuddin, Elanggovan
al M Savarimuthu, Fathiah Mohamad, Junaidah Mohd Hassan, Farah Asnida Shariff,
Azizi Yahya Shahrin Hashim dan Zulhaimy Ismail telah diedit oleh Yusof Boon
bertujuan untuk dijadikan rujukan untuk guru-guru serta pensyarah. Perbincangan
di dalam buku ini boleh membantu guru-guru dan pensyarah membuat perancangan dalam
meningkatkan prestasi pelajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik.
Secara keseseluruhannya, buku ini
mengandungi perbincangan dan cadangan-cadangan tentang isu-isu mengenai tahap
kompetensi guru-guru Sains dan Matematik, tahap kemahiran manipulatif dan
penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara dalam matapelajaran ini.
Selain itu, perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam kurikulum Sains dan
Matematik turut dibincangkan dari aspek pelaksanaan kurikulum tersebut.
Kepentingan dalam memahami konsep dalam matapelajaran ini dan gaya pembelajaran
pelajar ditekankan untuk memberi kesedaran kepada guru tentang kaedah
pengajaran yang betul. Isu-isu yang timbul dalam matapelajaran Sains dan
Matematik seperti faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar serta
cadangan kepada pelbagai pihak dalam meningkatkan tahap pencapaian pelajar
diulas dengan mendalam dalam topik-topik berkenaan.
Perbincangan mengenai dasar
Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah
menfokuskan kepada kepentingan dasar tersebut serta cabaran yang dihadapi oleh
guru serta pelajar dalam melaksanakan dasar tersebut. Kelemahan dalam Bahasa
Inggeris telah mempengaruhi komunikasi antara guru dan pelajar dalam sesi
pembelajaran. Justeru, komunikasi yang tidak efektif dalam sesi pembelajaran
telah memberi kesan dalam pencapaian pelajar-pelajar dalam Sains dan Matematik.
Perlaksanaan dasar ini yang memperkenalkan penggunaan teknologi dan maklumat
(ICT) adalah suatu langkah yang bagus dalam menaikkan taraf pendidikan negara.
Namun, masalah-masalah yang timbul seperti pengagihan peralatan ICT yang tidak
cukup, guru yang kurang berkemahiran, masa dan sebagainya menjadikan penggunaan
ICT dalam sesi pembelajaran tidak diluaskan atau kurang digunakan guru.
Kaedah pengajaran yang digunakan
guru turut menjadi topik utama yang dibincangkan dalam buku ini. Kurikulum
pendidikan yang baru telah menekankan kaedah pengajaran yang lebih menfokuskan
pelajar di mana pelajar-pelajar perlu menjadi aktif di dalam kelas. Kaedah ini
juga boleh merangsang cara pemikiran dan membantu pelajar untuk mempunyai
kemahiran berfikir yang kritis dan kreatif. Masalah yang timbul bagi masalah
ini adalah apabila guru-guru enggan utuk menukar kaedah pengajaran yang
digunakan kerana sudah biasa dengan kaedah pengajaran tradisional, atau lebih
dikenali sebagai kaedah “Chalk and Talk”.
Kajian yang terdapat dalam buku ini turut mengaitkan kaedah pengajaran guru
dengan tahap kefahaman pelajar terhadap konsep dan sikap yang ditunjukkan
pelajar tentang pelajaran tersebut.
Selain dari isu-isu yang menfokuskan
kepada kemahiran perguruan dan sikap pelajar, terdapat juga perbincangan
tentang faktor-faktor yang turut mempengaruhi pencapaian pelajar secara tidak
langsung iaitu faktor latar belakang pelajar. Latar belakang pelajar boleh
dilihat melalui beberapa aspek, iaitu tempat tinggal pelajar, tahap pendidikan
ibu bapa, pekerjaan serta pendapatan dalam keluarga mereka. Hasil kajian
mendapati latar belakang keluarga turut menyumbang kepada tahap pencapaian
pelajar melalui faktor sikap pelajar tersebut. Dalam hal ini, bukan sahaja guru
yang memainkan peranan, malah pihak sekolah dan juga keluarga pelajar,
terutamanya ibu bapa pelajar. Kepentingan sikap dalam menentukan tahap
pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik adalah tahap motivasi dalam diri
setiap pelajar. Pelajar yang bersikap positif adalah pelajar yang mempunyai
tahap motivasi yang tinggi.
Perbincangan tentang masalah-masalah
yang terdapat dalam pendidikan Sains dan Matematik bukan sahaja berkisar
tentang faktor-faktor terjadinya masalah itu, tetapi perbincangan dalam buku
ini turut menyentuh tentang langkah-langkah pembaikan yang perlu dilakukan bagi
mengatasi masalah-masalah tersebut serta meningkatkan keberkesanan dalam
pengajaran Sains dan Matematik. Semua pihak memainkan peranan dalam
meningkatkan pencapaian termasuk pihak kerajaan, pihak pentadbiran sekolah,
guru-guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Masalah seperti kelengkapan dan
peralatan ICT serta kemudahan-kemudahan infrastruktur di sekolah hendaklah
diagihkan secara sama rata. Pengagihan yang menumpu kepada bandar bukan sahaja
meningkatkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar, malah
turut memberi kesan kepada taraf pendidikan negara. Perancangan yang rapi dan
teliti hendaklah dilakukan sebelum melaksanakan dasar dalam pendidikan agar ia
bukan sahaja memberi kebaikan kepada negara, tetapi juga kepada guru dan
pelajar itu sendiri.
Pihak pentadbiran sekolah juga
perlulah bekerjasama dengan pihak guru dalam meningkatkan tahap pencapaian
akademik sekolah tersebut. Perhatian perlu diberikan kepada cabaran-cabaran
yang dihadapi guru dalam sesi pengajaran. Interaksi yang baik antara pihak
sekolah dan guru akan membawa kepada hasil yang cemerlang, malah semangat dan
motivasi guru untuk mengajar turut meningkat sekaligus mengatasi masalah stress
melampau yang dihadapi guru. Walaupun kekurangan banyak dilihat dari aspek
pihak kerajaan dan pentadbiran sekolah, sikap guru turut memainkan peranan.
Guru hendaklah mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran dalam
aspek-aspek yang dikenalpasti masih lemah. Sikap guru yang mengharapkan usaha
seperti bengkel dan kursus yang dianjurkan pihak sekolah sahaja hanya akan
menyebabkan mereka ketinggalan dalam arus pendidikan. Guru-guru juga hendaklah
kreatif dalam menyampaikan maklumat pelajaran kepada para pelajar bagi
meningkatkan keberkesanan pengajaran tersebut. Sikap guru-guru yang masih
berkeras untuk menggunakan kaedah tradisional dalam pengajaran kerana
kepentingan sendiri merupakan salah satu faktor pencapaian pelajar yang tidak
memuaskan.
Peranan ibu bapa juga dilihat
penting dalam mengatasi masalah-masalah dalam pendidikan Sains dan Matematik.
Sikap positif ibu bapa yang sentiasa mementingkan pelajaran anak-anak akan
menjadi dorongan dan semangat kepada mereka untuk berusaha mencapai kejayaan.
Faktor ibu bapa yang kurang berkemampuan dan menyebabkan pencapaian yang
merosot dalam pelajaran anak-anak perlu diatasi dengan cara pemikiran mereka.
Ibu bapa yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang formal juga perlu
sedar akan kepentingan pelajaran kepada anak-anak untuk masa hadapan. Ibu bapa
yang berfikiran sempit bukan sahaja tidak menyokong anak-anak untuk belajar
malah akan mempengaruhi persepsi mereka terhadap pelajaran. Pelajar juga perlu
bertanggungjawab ke atas pencapaian mereka. Usaha yang berterusan perlu
dilakukan untuk mencapai kejayaan. Pelajar juga perlulah mengambil inisiatif
sendiri jika tidak dapat memahami sesuatu pelajaran yang diajar di dalam kelas
seperti membuat rujukan di perpustakaan, internet dan perbincangan dalam
kumpulan bersama rakan-rakan. Kegagalan yang diperolehi dalam ujian perlu
dijadikan pengajaran bukan membiarkan kegagalan tersebut berulang.
Kesimpulannya, perubahan kurikulum
dalam pendidikan adalah menjadi satu keperluan dalam merealisasikan Wawasan
2020 untuk mencapai taraf negara maju dari segi perindustrian dan ekonomi.
Masalah-masalah yang didapati dalam pendidikan mampu diatasi dengan kerjasama
dari pelbagai pihak. Kesedaran terhadap kepentingan Sains dan Teknologi dalam
mengharungi cabaran globalisasi adalah menjadi satu keperluan semua pihak. Melalui
kesedaran tersebut, usaha-usaha akan dirancang dan langkah-langkah pembaikan
boleh diambil.
No comments:
Post a Comment