BAB 6 : Sumbangan Sikap Terhadap
Pencapaian Pelajar dalam Matapelajaran Matematik
Azizi Yahaya & Shahrin Hashim
Penulis
membincangkan kesan sikap seseorang pelajar terhadap pencapaiannya dalam
akademik, khususnya pencapaian dalam matapelajaran Matematik. Matematik adalah
satu matapelajaran yang berkonsepkan pemikiran yang kreatif dan inovatif, di
mana memerlukan minat dan keinginan seseorang pelajar untuk memahami konsep
dalam Matematik. Kajian tentang hubungan antara sikap pelajar dan pencapaian
akademik telah banyak dilakukan oleh para pengkaji. Terdapat banyak kajian yang
mendapati sikap pelajar mempengaruhi pencapaian mereka namun terdapat juga
kajian yang tidak mampu mengaitkan pencapaian yang diperolehi pelajar dengan
sikap mereka.
Dalam kajian ini, sikap pelajar
terhadap matapelajaran Matematik dilihat dari tiga aspek yang berbeza iaitu
aspek komitmen, perasaan dan wawasan. Dari aspek komitmen, penglibatan pelajar
dalam matapelajaran ini samada aktif atau pun tidak dianalisis. Aspek perasaan
pula dianalisis melalui soal selidik yang bersifat untuk mengkaji tahap pelajar
menyukai matapelajaran tersebut. Manakala aspek wawasan mengkaji usaha dan
inisiatif seseorang pelajar itu untuk menguasai Matematik. Ketiga-tiga aspek
ini dipercayai mampu untuk membuat penilaian terhadap sikap seseorang pelajar.
Hubungan dari setiap aspek yang dikaji dengan aspek yang lain diuji bagi
mengesahkan pengaruh sikap pelajar.
Hasil kajian menunjukkan aspek
komitmen dan wawasan dalam sikap pelajar terhadap Matematik adalah tinggi namun
dapatan menunjukkan sikap pelajar dari aspek perasaan adalah di tahap yang
sederhana. Berdasarkan analisis tentang ketiga-tiga aspek tersebut dengan
pencapaian pelajar dalam Matematik, pelajar-pelajar mempunyai sikap yang ingin
berusaha untuk kecemerlangan Matematik dan mereka juga menyedari akan
kepentingan Matematik terhadap masa depan mereka. Minat dan perasaan gemar akan
matapelajaran tersebut tidak terlalu mempegaruhi pencapaian mereka. Hal ini
kerana perasaan individu adalah tidak konsisten dan sentiasa berubah mengikut
situasi yang tertentu.
Sikap pelajar terhadap sesuatu
perkara merupakan salah satu penyumbang kepada kecemerlangan mereka dalam
pelajaran terutamanya dari aspek komitmen dan wawasan. Perkara yang
mempengaruhi kedua-dua aspek ini adalah tahap motivasi dalam diri pelajar.
Pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan akan
berusaha dengan bersungguh-sungguh walaupun sesuatu pelajaran itu adalah sukar.
Perasaan tidak gemar terhadap sesuatu yang baik dianggap sebagai cabaran dalam
menguasai sesuatu perkara tersebut. Pihak yang bertanggungjawab dalam
memastikan pelajar yang bermotivasi tinggi adalah ibu bapa dan guru-guru.
Dorongan dan semangat melalui pelbagai kaedah perlu diberikan kepada mereka
agar sentiasa optimis dalam pelajaran.
Sebagai penutup, penulis telah
mencadangkan beberapa perkara untuk golongan guru dalam mempengaruhi sikap
pelajar agar sentiasa positif terhadap pelajaran. Guru-guru disaran untuk
mempelbagaikan kaedah pengajaran agar mengelakkan perasaan bosan pelajar untuk
mempelajari pelajaran tersebut. Contoh-contoh pengaplikasian Matematik dalam
kehidupan realiti turut memberi kesedaran kepada mereka akan kepentingan
Matematik sekaligus mempengaruhi fikiran mereka untuk mencapai kecemerlangan
dalam Matematik untuk masa depan yang cerah.
No comments:
Post a Comment