Lima
pandangan tentang buku Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik.
Buku yang bertajuk Permasalahan
dalam Pendidikan Sains dan Matematik yang diedit oleh Yusof Boon ini
membincangkan tentang isu-isu yang berlaku dalam pendidikan Sains dan
Matematik. Melalui pembacaan saya, terdapat kelebihan dan kekurangan kandungan
yang terdapat dalam buku ini boleh dihuraikan. Antaranya ialah :
1. Himpunan kajian yang dijalankan
dikumpulkan memberi gambaran keseluruhan terhadap isu-isu yang timbul dalam pendidikan
Sains dan Matematik.
Setiap permasalahan dan isu tentang pendidikan Sains dan Matematik diberikan
bukti melalui kajian-kajian yang disusun mengikut bab dalam buku ini. Hasil
keputusan kajian turut diolah bagi memberikan kefahaman yang sebenar untuk
data-data yang diperoleh pengkaji. Sebagai contoh, penjelasan yang jelas
dihuraikan sebagai sebab pengkaji membuat keputusan bahawa pembolehubah tidak
bersandar yang ditetapkan tidak mempunyai hubungan dengan pembolehubah
bersandar. Perbincangan terhadap sesuatu isu juga tidak bias dan mempunyai
logik yang kuat.
2. Setiap isu dan perkara yang dibincangkan
dalam buku ini memberi faedah atau kebaikan kepada guru. Masalah-masalah
yang berlaku dalam pendidikan keseluruhannya adalah masalah yang dihadapi guru
serta pelajar dalam pendidikan. Kajian yang dijalankan kepada guru dan murid
memberi gambaran yang jelas kepada guru tentang sesuatu masalah yang berlaku.
Hasil kajian yang dibincangkan pada setiap bab menambahkan lagi kefahaman guru
terhadap sesuatu perkara serta mampu meningkatkan kesedaran guru tentang
perkara tersebut. Perbincangan itu juga dapat memberi inspirasi kepada guru
untuk mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengatasi masalah yang
dihadapi serta meningkatkan keberkesanan sesi pengajarannya kepada pelajar.
3. Setiap bab mengandungi kajian yang
telah dilaksanakan disediakan sumber rujukan bagi memudahkan guru untuk
mendapatkan maklumat yang lebih terperinci terhadap sesuatu perkara yang
diingini. Sebagai
contoh, dalam perbincangan sesuatu kajian, pengkaji telah mengulas sesuatu
perkara dengan membuat rujukan dari sebuah buku. Ulasan pengkaji yang terhad
akan menimbulkan persoalan terhadap sesuatu perkara. Jadi, bahan rujukan yang
digunakan pengkaji boleh di cari mengikut butir-butir maklumat rujukan yang
telah disediakan. Ini bukan sahaja memudahkan guru-guru untuk melihat sesuatu
isu dengan lebih terperinci, malah akan memberikan guru-guru pengetahuan yang
lebih luas. Penyediaan sumber rujukan juga membuktikan perbincangan dan kajian
yang dijalankan adalah berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih.
4. Perbincangan dilakukan berdasarkan
kajian yang dijalankan. Namun, keseluruhan kajian adalah berbentuk kuantitatif.
Kajian
kuantitatif adalah kajian yang dijalankan menggunakan instrumen ujian penilaian
dan soal selidik. Kedua-dua instrumen ini adalah berpotensi tinggi untuk
mendapat jawapan yang tidak telus oleh responden. Selain itu, kajian berbentuk
kuantitatif juga hanya menguji responden dari aspek-aspek yang telah ditetapkan
oleh pengkaji. Jika kajian dijalankan secara kualitatif, iaitu dengan
menjalankan temubual dengan responden, hasil kajian yang didapati akan lebih
pelbagai dan terperinci. Ini memberikan kelebihan kepada pembaca, khususnya
guru-guru untuk melihat sesuatu isu dari skop yang lebih luas. Selain itu,
sesuatu isu yang dibincangkan juga akan meliputi pelbagai pihak. Sebagai
contoh, pencapaian pelajar dipengaruhi oleh sikap. Sikap yang mempengaruhi
pelajar itu boleh dilihat dari sudut sikap pihak kerajaan, sikap guru, sikap
ibu bapa dan sikap pelajar itu sendiri.
5. Setiap masalah atau isu yang
dibincangkan akan disertakan beberapa cadangan yang boleh dijadikan rujukan
untuk guru-guru. Namun, hampir kesemua cadangan adalah mengenai kaedah
pengajaran yang dilaksanakan oleh guru. Terdapat juga langkah-langkah yang boleh diambil
oleh pihak-pihak lain yang bertanggungjawab dalam memainkan peranan untuk
mengatasi masalah tersebut. Hal ini mungkin disebabkan tujuan buku ini
diterbitkan adalah sebagai rujukan kepada guru-guru untuk meningkatkan
pencapaian dan mengatasi isu-isu yang timbul dalam pendidikan Sains dan Matematik.
Panduan kaedah pengajaran dijelaskan dengan sangat bagus. Teori-teori
pembelajaran oleh ahli-ahli pakar dalam pendidikan juga dikupas sebagai panduan
guru-guru.
Kesimpulannya,
penerbitan buku hasil pengumpulan kajian-kajian yang dilaksanakan yang
berkaitan dengan isu-isu yang timbul dalam pendidikan Sains dan Matematik
adalah satu inisiatif yang sangat baik. Buku ini bukan sahaja boleh dijadikan
rujukan kepada guru-guru untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran, tetapi
juga memberi kesedaran kepada bakal-bakal guru untuk menyiapkan diri dalam
melaksanakan tugasan yang sebenar. Penyelidik yang ingin mengkaji tentang
isu-isu baru yang timbul juga boleh membuat buku ini sebagai salah satu rujukan
yang bagus. Buku ini boleh dibuat penambahbaikan dengan menambah kajian-kajian
yang berkaitan tetapi mengikut aspek-aspek yang berbeza.
No comments:
Post a Comment