Friday, 27 November 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 2 :  Kepentingan Kefahaman Konsep dalam Matematik
Azizi Yahaya & Elanggovan A/L M. Savarimuthu

Kefahaman dan kebolehan pelajar untuk memahami dan menguasai sesuatu konsep dalam pelajaran adalah merupakan objektif pengajaran setiap guru. Dalam memastikan hal ini berlaku, kaedah pengajaran guru dan faktor-faktor yang mempengaruhi sesi pembelajaran yang berkesan merupakan perkara penting untuk diketahui. Penguasaan konsep asas Matematik dalam kalangan pelajar dapat membantu mereka untuk memahami konsep-konsep kompleks yang dipelajari. Kelemahan dalam konsep asas akan mendorong kepada kesukaran seseorang pelajar untuk memahami konsep-konsep Matematik yang lain seterusnya memberi kesan buruk kepada minat pelajar tersebut dalam menguasai matapelajaran Matematik.

            Dalam bab ini, penulis meninjau beberapa aspek daripada pendapat ahli-ahi penyelidik dan psikologi mengenai kepentingan kefahaman konsep dalam pembelajaran Matematik. Ia juga memberi gambaran berhubung pembentukan konsep yang betul. Di samping itu, penekanan diberikan juga kepada kepentingan pengkaedahan pembelajaran dan bagaimana ia dapat membantu pelajar dalam memahami sesuatu konsep dengan jelas seterusnya mampu mengaplikasi kemahiran Matematik dalam kehidupan seharian. Sekali lagi dalam hal ini, guru adalah elemen utama dalam memastikan konsep-konsep Matematik mampu dikuasai oleh pelajar-pelajar mereka. Kebolehan pelajar dalam menyelesaikan masalah Matematik mampu menjadi pengukur terhadap kefahaman konsep Matematik seseorang pelajar tersebut.

            Keseluruhan ahli penyelidik bersetuju bahawa pelajar yang tidak memahami konsep Matematik akan menghadapi masalah dalam pemahaman Matematik secara keseluruhannya. Pembentukan konsep membolehkan pelajar untuk mengenal sesuatu secara berasingan, mengenalnya dan seterusnya dapat membezakan sesuatu benda dengan benda yang lain. Ahli psikologi turut mendapati konsep yang sudah dikuasai akan mempengaruhi tahap pembelajaran isi kandungan yang baru. Konsep yang kurang jelas juga berpunca dari kurangnya minat seseorang pelajar dalam pembelajaran. Hal ini boleh dikaitkan dengan bahan pengajaran yang tidak menepati objektif pengajaran, organisasi kandungan yang tidak sistematik, persekitaran pembelajaran yang kurang memuaskan dan juga pendekatan pembelajaran yang statik.

            Kaedah pembelajaran yang mengandungi unsur penyampaian isi pelajaran oleh guru, perbincangan antara pelajar dan guru serta perbincangan yang wujud dalam kalangan pelajar itu merupakan satu pendekatan yang mampu mengukuhkan konsep sesuatu pembelajaran. Kerja-kerja praktikal, latih tubi bagi kemahiran asas, aktiviti penyelesaian masalah dan aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pelajar menyelidik atau mengkaji kaedah-kaedah yang boleh digunakan dalam menyelesaikan masalah Matematik mampu untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep itu. Pendekatan melalui pengalaman seperti aktiviti yang memerlukan pelajar membina model-model pelajaran juga dapat membantu pelajar mengembangkan tahap pemikiran mereka. Kaedah pengajaran yang pelbagai serta persekitaran yang berbeza mampu menarik minat pelajar untuk mempelajari serta meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu pelajaran tersebut.


            Kesimpulannya, pedagogi yang betul mampu menanam konsep asas Matematik dalam diri pelajar dengan menarik minat mereka untuk belajar dan menggunakan pendekatan yang kreatif untuk memastikan konsep itu difahami dengan mendalam. Kefahaman terhadap konsep dalam Matematik penting untuk membolehkan pelajar memperbaiki dan meningkatkan mutu pendidikan negara untuk menghasilkan generasi Malaysia yang bukan sahaja kreatif dan inovatif dalam pemikiran mereka malah berketerampilan dan berintelek tinggi.

No comments:

Post a Comment