Wednesday, 9 December 2015

Ulasan Jurnal 10

a)               Tajuk Laporan    : Kesan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam 
                                     Bahasa Inggeris Terhadap Pelajar Universiti Teknologi Malaysia.
Penulis                : Tuah Ishak dan Mohini Mohamed
Sumber             : Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains Dan Matematik, 11-12 Okt 2008
Bilangan MukaSurat : 8 Muka Surat

Laporan ini adalah hasil kajian penulis Tuah Ishak dan Mohini Mohamed untuk mengkaji kesan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) terhadap pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Sampel yang digunakan ialah pelajar dari Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal seramai 309 orang. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah set soal selidik. Hasil kajian melalui analisis statistik deskriptif dan inferensi menunjukkan tahap kesediaan, minat dan keyakinan pelajar terhadap PPSMI adalah pada tahap sederhana dan kurang memuaskan.

Persoalan pertama yang dibincangkan penulis adalah tentang aspek kesediaan dalam kalangan pelajar. Hasil dapatan menunjukkan sebahagian besar dalam kalangan pelajar berada dalam tahap kesediaan yang sederhana. Kajian juga mendapati pelajar perempuan didapati lebih bersedia daripada pelajar lelaki dan kaum bukan bumiputera mempunyai tahap kesediaan yang tinggi berbanding kaum bumiputera. Selain itu, pelajar yang mengikuti aliran STPM juga didapati mempunyai tahap kesediaan yang tinggi dan pelajar dari Fakulti Sains didapati paling bersedia dibandingkan dengan pelajar dari dua fakulti yang lain. Penulis berpendapat pelbagai kemudahan pelajaran dalam Bahasa Inggeris hendaklah disediakan dan aktiviti-aktiviti bertujuan penguasaan Bahasa Inggeris dipergiatkan.

Persoalan seterusnya yang dibincangkan penulis ialah tentang aspek minat untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kajian mendapati tahap minat dalam kalangan pelajar adalah sederhana dan kurang memuaskan. Namun begitu, pelajar-pelajar sedar akan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik untuk kerjaya yang akan datang. Di samping itu, pengajaran dalam dwibahasa menjadi pilihan pelajar kerana pelajar didapati tidak berminat untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris seperti kajian untuk aspek kesediaan, pelajar perempuan, pelajar bukan bumiputera dan pelajar dari Fakulti Sains didapati mempunyai tahap minat yang tinggi. Penulis berpendapat, kurangnya minat dalam kalangan pelajar untuk berbahasa Inggeris adalah kerana kurangnya praktikal dilakukan dalam kehidupan seharian.

Aspek keyakinan merupakan persoalan yang seterusnya dibincangkan oleh penulis. Menurut kajian, pensyarah banyak memberikan bantuan dalam permasalahan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kaedah pengajaran yang diamalkan oleh pensyarah juga diakui berkesan. Kebanyakan pelajar yakin dapat mengikuti pelajaran yang diajar menggunakan Bahasa Inggeris dengan sepenuhnya tetapi kebolehan mereka untuk menjawab soalan-soalan dalam Bahasa Inggeris sangat tidak memuaskan. Penulis berpendapat keyakinan pelajar untuk berbahasa Inggeris boleh dipupuk dengan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.


Bedasarkan kajian yang menunjukkan bahawa kesediaan, minat dan keyakinan pelajar yang di tahap sederhana dan tidak memuaskan, saya berpendapat bahawa pelajar-pelajar hendaklah didedahkan dengan penggunaan Bahasa Inggeris sejak awal. Ini akan membantu pelajar untuk lebih bersedia menghadapi masa depan terutamanya setelah tamat pelajaran serta dapat meningkatkan keyakinan dalam diri para pelajar untuk menggunakan Bahasa Inggeris. Kursus-kursus Bahasa Inggeris di universiti memainkan peranan penting dalam menerapkan minat dan keyakinan dalam diri pelajar. 

No comments:

Post a Comment