Thursday, 31 December 2015

Sunday, 27 December 2015

Tugasan 9 - Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Tugasan 9 merupakan tugasan berkumpulan, di mana kami menggunakan bahan maujud untuk sesi pembentangan. Tugasan ini membincangkan tentang isu bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Penulisan ilmiah (berkumpulan) hasil dari tugasan 9 adalah seperti berikut.



Selain itu, tugasan ini memerlukan pendapat setiap individu dalam kumpulan terhadap isu ini. Berikut merupakan pandangan dan pendapat saya tentang isu ini.

Saturday, 26 December 2015

Tugasan 7 - Penilaian

Tugasan 7 merupakan tugasan berkumpulan, di mana kami menggunakan bahan maujud untuk sesi pembentangan. Tugasan ini membincangkan tentang isu penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Penulisan ilmiah (berkumpulan) hasil dari tugasan 7 adalah seperti berikut.


Selain itu, tugasan ini memerlukan pendapat setiap individu dalam kumpulan terhadap isu ini. Berikut merupakan pandangan dan pendapat saya tentang isu ini.

Tugasan 6 - Pendekatan dalam Pengajaran

Tugasan 6 merupakan tugasan berkumpulan, di mana kami menggunakan bahan maujud untuk sesi pembentangan. Tugasan ini membincangkan tentang isu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Penulisan ilmiah (berkumpulan) hasil dari tugasan 6 adalah seperti berikut.


Selain itu, tugasan ini memerlukan pendapat setiap individu dalam kumpulan terhadap isu ini. Berikut merupakan pandangan dan pendapat saya tentang isu ini.

Tugasan 5 - Pendekatan Pengajaran

Tugasan 5 merupakan tugasan berkumpulan, di mana kami menggunakan video untuk sesi pembentangan. Tugasan ini membincangkan tentang isu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Video yang telah dipilih oleh kumpulan kami ialah seperti di bawah.



Penulisan ilmiah (berkumpulan) hasil dari tugasan 5 adalah seperti berikut.



Selain itu, tugasan ini memerlukan pendapat setiap individu dalam kumpulan terhadap isu ini. Berikut merupakan pandangan dan pendapat saya tentang video pilihan ini.

Wednesday, 16 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

Lima pandangan tentang buku Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik.

Buku yang bertajuk Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik yang diedit oleh Yusof Boon ini membincangkan tentang isu-isu yang berlaku dalam pendidikan Sains dan Matematik. Melalui pembacaan saya, terdapat kelebihan dan kekurangan kandungan yang terdapat dalam buku ini boleh dihuraikan. Antaranya ialah :
1.         Himpunan kajian yang dijalankan dikumpulkan memberi gambaran keseluruhan terhadap isu-isu yang timbul dalam pendidikan Sains dan Matematik. Setiap permasalahan dan isu tentang pendidikan Sains dan Matematik diberikan bukti melalui kajian-kajian yang disusun mengikut bab dalam buku ini. Hasil keputusan kajian turut diolah bagi memberikan kefahaman yang sebenar untuk data-data yang diperoleh pengkaji. Sebagai contoh, penjelasan yang jelas dihuraikan sebagai sebab pengkaji membuat keputusan bahawa pembolehubah tidak bersandar yang ditetapkan tidak mempunyai hubungan dengan pembolehubah bersandar. Perbincangan terhadap sesuatu isu juga tidak bias dan mempunyai logik yang kuat.
2.         Setiap isu dan perkara yang dibincangkan dalam buku ini memberi faedah atau kebaikan kepada guru. Masalah-masalah yang berlaku dalam pendidikan keseluruhannya adalah masalah yang dihadapi guru serta pelajar dalam pendidikan. Kajian yang dijalankan kepada guru dan murid memberi gambaran yang jelas kepada guru tentang sesuatu masalah yang berlaku. Hasil kajian yang dibincangkan pada setiap bab menambahkan lagi kefahaman guru terhadap sesuatu perkara serta mampu meningkatkan kesedaran guru tentang perkara tersebut. Perbincangan itu juga dapat memberi inspirasi kepada guru untuk mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengatasi masalah yang dihadapi serta meningkatkan keberkesanan sesi pengajarannya kepada pelajar.
3.         Setiap bab mengandungi kajian yang telah dilaksanakan disediakan sumber rujukan bagi memudahkan guru untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci terhadap sesuatu perkara yang diingini. Sebagai contoh, dalam perbincangan sesuatu kajian, pengkaji telah mengulas sesuatu perkara dengan membuat rujukan dari sebuah buku. Ulasan pengkaji yang terhad akan menimbulkan persoalan terhadap sesuatu perkara. Jadi, bahan rujukan yang digunakan pengkaji boleh di cari mengikut butir-butir maklumat rujukan yang telah disediakan. Ini bukan sahaja memudahkan guru-guru untuk melihat sesuatu isu dengan lebih terperinci, malah akan memberikan guru-guru pengetahuan yang lebih luas. Penyediaan sumber rujukan juga membuktikan perbincangan dan kajian yang dijalankan adalah berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih.
4.         Perbincangan dilakukan berdasarkan kajian yang dijalankan. Namun, keseluruhan kajian adalah berbentuk kuantitatif. Kajian kuantitatif adalah kajian yang dijalankan menggunakan instrumen ujian penilaian dan soal selidik. Kedua-dua instrumen ini adalah berpotensi tinggi untuk mendapat jawapan yang tidak telus oleh responden. Selain itu, kajian berbentuk kuantitatif juga hanya menguji responden dari aspek-aspek yang telah ditetapkan oleh pengkaji. Jika kajian dijalankan secara kualitatif, iaitu dengan menjalankan temubual dengan responden, hasil kajian yang didapati akan lebih pelbagai dan terperinci. Ini memberikan kelebihan kepada pembaca, khususnya guru-guru untuk melihat sesuatu isu dari skop yang lebih luas. Selain itu, sesuatu isu yang dibincangkan juga akan meliputi pelbagai pihak. Sebagai contoh, pencapaian pelajar dipengaruhi oleh sikap. Sikap yang mempengaruhi pelajar itu boleh dilihat dari sudut sikap pihak kerajaan, sikap guru, sikap ibu bapa dan sikap pelajar itu sendiri.
5.         Setiap masalah atau isu yang dibincangkan akan disertakan beberapa cadangan yang boleh dijadikan rujukan untuk guru-guru. Namun, hampir kesemua cadangan adalah mengenai kaedah pengajaran yang dilaksanakan oleh guru. Terdapat juga langkah-langkah yang boleh diambil oleh pihak-pihak lain yang bertanggungjawab dalam memainkan peranan untuk mengatasi masalah tersebut. Hal ini mungkin disebabkan tujuan buku ini diterbitkan adalah sebagai rujukan kepada guru-guru untuk meningkatkan pencapaian dan mengatasi isu-isu yang timbul dalam pendidikan Sains dan Matematik. Panduan kaedah pengajaran dijelaskan dengan sangat bagus. Teori-teori pembelajaran oleh ahli-ahli pakar dalam pendidikan juga dikupas sebagai panduan guru-guru.

            Kesimpulannya, penerbitan buku hasil pengumpulan kajian-kajian yang dilaksanakan yang berkaitan dengan isu-isu yang timbul dalam pendidikan Sains dan Matematik adalah satu inisiatif yang sangat baik. Buku ini bukan sahaja boleh dijadikan rujukan kepada guru-guru untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran, tetapi juga memberi kesedaran kepada bakal-bakal guru untuk menyiapkan diri dalam melaksanakan tugasan yang sebenar. Penyelidik yang ingin mengkaji tentang isu-isu baru yang timbul juga boleh membuat buku ini sebagai salah satu rujukan yang bagus. Buku ini boleh dibuat penambahbaikan dengan menambah kajian-kajian yang berkaitan tetapi mengikut aspek-aspek yang berbeza.

Tuesday, 15 December 2015

Permasalan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

PERMASALAHAN DALAM PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK

Buku yang bertajuk “Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik” ini merupakan perkongsian ilmu melalui dapatan kajian-kajian yang telah dijalankan secara berterusan berkenaan dengan matapelajaran Sains dan Matematik. Hasil-hasil kajian dari beberapa orang penulis seperti Fadhlina Mohd Azizuddin, Elanggovan al M Savarimuthu, Fathiah Mohamad, Junaidah Mohd Hassan, Farah Asnida Shariff, Azizi Yahya Shahrin Hashim dan Zulhaimy Ismail telah diedit oleh Yusof Boon bertujuan untuk dijadikan rujukan untuk guru-guru serta pensyarah. Perbincangan di dalam buku ini boleh membantu guru-guru dan pensyarah membuat perancangan dalam meningkatkan prestasi pelajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik.
            Secara keseseluruhannya, buku ini mengandungi perbincangan dan cadangan-cadangan tentang isu-isu mengenai tahap kompetensi guru-guru Sains dan Matematik, tahap kemahiran manipulatif dan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara dalam matapelajaran ini. Selain itu, perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam kurikulum Sains dan Matematik turut dibincangkan dari aspek pelaksanaan kurikulum tersebut. Kepentingan dalam memahami konsep dalam matapelajaran ini dan gaya pembelajaran pelajar ditekankan untuk memberi kesedaran kepada guru tentang kaedah pengajaran yang betul. Isu-isu yang timbul dalam matapelajaran Sains dan Matematik seperti faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar serta cadangan kepada pelbagai pihak dalam meningkatkan tahap pencapaian pelajar diulas dengan mendalam dalam topik-topik berkenaan.
            Perbincangan mengenai dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah menfokuskan kepada kepentingan dasar tersebut serta cabaran yang dihadapi oleh guru serta pelajar dalam melaksanakan dasar tersebut. Kelemahan dalam Bahasa Inggeris telah mempengaruhi komunikasi antara guru dan pelajar dalam sesi pembelajaran. Justeru, komunikasi yang tidak efektif dalam sesi pembelajaran telah memberi kesan dalam pencapaian pelajar-pelajar dalam Sains dan Matematik. Perlaksanaan dasar ini yang memperkenalkan penggunaan teknologi dan maklumat (ICT) adalah suatu langkah yang bagus dalam menaikkan taraf pendidikan negara. Namun, masalah-masalah yang timbul seperti pengagihan peralatan ICT yang tidak cukup, guru yang kurang berkemahiran, masa dan sebagainya menjadikan penggunaan ICT dalam sesi pembelajaran tidak diluaskan atau kurang digunakan guru.
            Kaedah pengajaran yang digunakan guru turut menjadi topik utama yang dibincangkan dalam buku ini. Kurikulum pendidikan yang baru telah menekankan kaedah pengajaran yang lebih menfokuskan pelajar di mana pelajar-pelajar perlu menjadi aktif di dalam kelas. Kaedah ini juga boleh merangsang cara pemikiran dan membantu pelajar untuk mempunyai kemahiran berfikir yang kritis dan kreatif. Masalah yang timbul bagi masalah ini adalah apabila guru-guru enggan utuk menukar kaedah pengajaran yang digunakan kerana sudah biasa dengan kaedah pengajaran tradisional, atau lebih dikenali sebagai kaedah “Chalk and Talk”. Kajian yang terdapat dalam buku ini turut mengaitkan kaedah pengajaran guru dengan tahap kefahaman pelajar terhadap konsep dan sikap yang ditunjukkan pelajar tentang pelajaran tersebut.
            Selain dari isu-isu yang menfokuskan kepada kemahiran perguruan dan sikap pelajar, terdapat juga perbincangan tentang faktor-faktor yang turut mempengaruhi pencapaian pelajar secara tidak langsung iaitu faktor latar belakang pelajar. Latar belakang pelajar boleh dilihat melalui beberapa aspek, iaitu tempat tinggal pelajar, tahap pendidikan ibu bapa, pekerjaan serta pendapatan dalam keluarga mereka. Hasil kajian mendapati latar belakang keluarga turut menyumbang kepada tahap pencapaian pelajar melalui faktor sikap pelajar tersebut. Dalam hal ini, bukan sahaja guru yang memainkan peranan, malah pihak sekolah dan juga keluarga pelajar, terutamanya ibu bapa pelajar. Kepentingan sikap dalam menentukan tahap pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik adalah tahap motivasi dalam diri setiap pelajar. Pelajar yang bersikap positif adalah pelajar yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi.
            Perbincangan tentang masalah-masalah yang terdapat dalam pendidikan Sains dan Matematik bukan sahaja berkisar tentang faktor-faktor terjadinya masalah itu, tetapi perbincangan dalam buku ini turut menyentuh tentang langkah-langkah pembaikan yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah-masalah tersebut serta meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran Sains dan Matematik. Semua pihak memainkan peranan dalam meningkatkan pencapaian termasuk pihak kerajaan, pihak pentadbiran sekolah, guru-guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Masalah seperti kelengkapan dan peralatan ICT serta kemudahan-kemudahan infrastruktur di sekolah hendaklah diagihkan secara sama rata. Pengagihan yang menumpu kepada bandar bukan sahaja meningkatkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar, malah turut memberi kesan kepada taraf pendidikan negara. Perancangan yang rapi dan teliti hendaklah dilakukan sebelum melaksanakan dasar dalam pendidikan agar ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada negara, tetapi juga kepada guru dan pelajar itu sendiri.
            Pihak pentadbiran sekolah juga perlulah bekerjasama dengan pihak guru dalam meningkatkan tahap pencapaian akademik sekolah tersebut. Perhatian perlu diberikan kepada cabaran-cabaran yang dihadapi guru dalam sesi pengajaran. Interaksi yang baik antara pihak sekolah dan guru akan membawa kepada hasil yang cemerlang, malah semangat dan motivasi guru untuk mengajar turut meningkat sekaligus mengatasi masalah stress melampau yang dihadapi guru. Walaupun kekurangan banyak dilihat dari aspek pihak kerajaan dan pentadbiran sekolah, sikap guru turut memainkan peranan. Guru hendaklah mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran dalam aspek-aspek yang dikenalpasti masih lemah. Sikap guru yang mengharapkan usaha seperti bengkel dan kursus yang dianjurkan pihak sekolah sahaja hanya akan menyebabkan mereka ketinggalan dalam arus pendidikan. Guru-guru juga hendaklah kreatif dalam menyampaikan maklumat pelajaran kepada para pelajar bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran tersebut. Sikap guru-guru yang masih berkeras untuk menggunakan kaedah tradisional dalam pengajaran kerana kepentingan sendiri merupakan salah satu faktor pencapaian pelajar yang tidak memuaskan.
            Peranan ibu bapa juga dilihat penting dalam mengatasi masalah-masalah dalam pendidikan Sains dan Matematik. Sikap positif ibu bapa yang sentiasa mementingkan pelajaran anak-anak akan menjadi dorongan dan semangat kepada mereka untuk berusaha mencapai kejayaan. Faktor ibu bapa yang kurang berkemampuan dan menyebabkan pencapaian yang merosot dalam pelajaran anak-anak perlu diatasi dengan cara pemikiran mereka. Ibu bapa yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang formal juga perlu sedar akan kepentingan pelajaran kepada anak-anak untuk masa hadapan. Ibu bapa yang berfikiran sempit bukan sahaja tidak menyokong anak-anak untuk belajar malah akan mempengaruhi persepsi mereka terhadap pelajaran. Pelajar juga perlu bertanggungjawab ke atas pencapaian mereka. Usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk mencapai kejayaan. Pelajar juga perlulah mengambil inisiatif sendiri jika tidak dapat memahami sesuatu pelajaran yang diajar di dalam kelas seperti membuat rujukan di perpustakaan, internet dan perbincangan dalam kumpulan bersama rakan-rakan. Kegagalan yang diperolehi dalam ujian perlu dijadikan pengajaran bukan membiarkan kegagalan tersebut berulang.

            Kesimpulannya, perubahan kurikulum dalam pendidikan adalah menjadi satu keperluan dalam merealisasikan Wawasan 2020 untuk mencapai taraf negara maju dari segi perindustrian dan ekonomi. Masalah-masalah yang didapati dalam pendidikan mampu diatasi dengan kerjasama dari pelbagai pihak. Kesedaran terhadap kepentingan Sains dan Teknologi dalam mengharungi cabaran globalisasi adalah menjadi satu keperluan semua pihak. Melalui kesedaran tersebut, usaha-usaha akan dirancang dan langkah-langkah pembaikan boleh diambil. 

Friday, 11 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 9 :  Menyingkap Sikap Pelajar Terhadap Subjek Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan
Zuhaimy Ismail

Pengaruh sikap pelajar terhadap pencapaian Matematik adalah perkara yang tidak boleh dinafikan lagi. Pelajar yang bersikap positif ialah pelajar yang boleh mengikuti pelajarannya secara aktif manakala sikap negatif dikaitkan dengan pelajar yang kurang mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran. Guru memainkan peranan penting dalam mengenali sikap pelajar terhadap suatu matapelajaran kerana sikap yang negatif boleh menyebabkan pelajar itu tidak mencapai keputusan yang baik dalam ujian penilaian.
            Penulis membincangkan tentang sikap pelajar berdasarkan faktor-faktor demografi pelajar tersebut seperti jantina, bangsa, aliran persekolahan, tempat tinggal, tahap pendidikan ibu bapa, pekerjaan bapa dan pendapatan ibu bapa. Perbincangan ini akan memberikan gambaran kepada guru-guru untuk mengenali sikap pelajar dengan lebih mudah. Secara keseluruhan, kajian mendapati sikap pelajar terhadap Matematik adalah positif. Pelajar-pelajar menyedari akan kepentingan Matematik namun mereka mempunyai persepsi bahawa Matematik adalah matapelajaran yang sukar. Penglibatan mereka dalam sesi pembelajaran turut memberikan peratusan yang rendah.
            Pelajar perempuan didapati mempunyai sikap yang lebih positif dari pelajar lelaki. Hal ini bersesuaian dengan teori Judith Batler (1991) yang mengatakan jantina mempunyai pengaruh terhadap tingkah laku seseorang pelajar tersebut. Pelajar berbangsa Cina dan India pula didapati lebih cenderung kepada matapelajaran Matematik berbanding pelajar berbangsa Melayu dan lain-lain. Dari aspek perbezaan aliran iaitu antara pelajar beraliran Sains dan pelajar bukan aliran Sains, tiada perbezaan yang signifikan dapat dilihat dalam menilai sikap mereka terhadap Matematik. Hal ini menunjukkan minat mereka terhadap Sains tidak mempengaruhi sikap mereka terhadap Matematik.
            Latar belakang keluarga pelajar secara keseluruhannya mempengaruhi sikap seseorang pelajar. Aspek-aspek latar belakang yang dimaksudkan ialah seperti tempat tinggal pelajar, pekerjaan bapa, tahap pendidikan ibu bapa, dan pendapatan ibu bapa. Pelajar yang tinggal di bandar mempunyai sikap yang lebih positif daripada pelajar yang tinggal di luar bandar. Hal ini mungkin disebabkan infrastruktur dan kemudahan yang ada di kawasan tempat tinggal memberi motivasi dan kesedaran yang lebih tinggi kepada mereka untuk mempelajari Matematik. Bapa yang bekerja sebagai pegawai atau kakitangan swasta mempengaruhi anak-anak untuk bersikap lebih positif berbanding bapa yang berkerja sebagai buruh dan teknikal serta bapa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Selain itu, tahap pendidikan ibu bapa turut memainkan peranan dalam mempengaruhi sikap pelajar. Ibu bapa yang belajar ke peringkat universiti mampu memberikan contoh dan semangat kepada anak-anak untuk mempelajari Matematik berbanding ibu bapa yang tidak mendapat pendidikan secara formal. Pendapatan ibu bapa dikait rapat dengan persediaan pelajaran kepada anak-anak mereka. Persediaan yang rapi dari segi buku-buku rujukan dan kemudahan seperti komputer dan internet di rumah menentukan sikap seseorang pelajar terhadap pelajaran, khususnya Matematik.
            Dalam bab ini juga, penulis memberikan beberapa cadangan kepada pihak sekolah dan guru setelah mengenalpasti sikap pelajar berdasarkan ciri-ciri demografi tersebut. Bagi pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan, guru-guru memainkan peranan untuk memberi motivasi dan pendedahan terhadap kepentingan Matematik. Sokongan dari segi kemudahan juga perlu dipertimbangkan oleh pihak sekolah. Program-program pendedahan tentang kepentingan pelajaran kepada ibu bapa pelajar-pelajar ini juga penting agar pelajar ini mendapat sokongan yang padu dari semua pihak. Selain motivasi dan pendedahan oleh guru, guru juga perlu kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran serta memastikan sesi pembelajaran yang efektif. Pendekatan secara konstruktivisme dipercayai mampu meningkatkan minat pelajar untuk mempelajari sesuatu perkara.

            Kesimpulannya, perkara yang paling utama dalam memastikan kejayaan seseorang pelajar sekaligus mencapai matlamat kurikulum pendidikan negara adalah dengan memupuk sikap yang positif dalam kalangan pelajar. Seseorang pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi dan persepsi yang bagus terhadap sesuatu perkara akan berusaha untuk mencapai perkara yang diingininya. Oleh itu, semua pihak adalah bertanggungjawab untuk memupuk sikap positif pelajar dalam pelajaran mereka.

Thursday, 10 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 8 :   Masalah dan Gaya Pembelajaran Pelajar Terhadap Subjek Kimia
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Irma Syah Binti Salim

Kurikulum Kimia menekankan pembelajaran berfikrah yang berterasakan kemahiran berfikir dan kemahiran saintifik. Kefahaman konsep dalam Kimia merupakan perkara yang penting untuk seseorang pelajar mencapai kecemerlangan. Penguasaan konsep Kimia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kebolehan pelajar dalam komunikasi, menyelesaikan masalah serta sikap pelajar terhadap matapelajaran itu sendiri. Dalam kurikulum Kimia, sikap pelajar yang negatif akan mempengaruhi pemahaman mereka tentang sesuatu konsep dan fakta tentang Kimia. Faktor-faktor yang menyebabkan pelajar mengalami masalah pembelajaran dari aspek penguasaan bahasa, kerangka alternatif dan sikap pelajar serta gaya pembelajaran berdasarkan model pembelajaran Honey dan Munford (1992) dibincangkan dalam bab ini.
            Dari aspek penguasaan bahasa, pelajar yang mempunyai tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa teknikal akan menyebabkan kesukaran untuk pelajar tersebut memahami konsep-konsep dalam matapelajaran Kimia. Selain itu, penggunaan simbol dan pengistilahan yang tidak konsisten dalam matapelajaran ini juga menyebabkan pelajar salah konsep di mana idea dan konsep yang disampaikan guru adalah bertentangan dengan konsep yang dimiliki. Dari aspek pemahaman yang diperolehi pelajar tentang fenomena alam berdasarkan pengalaman sendiri, iaitu kerangka alternatif turut menyumbang kepada masalah pembelajaran Kimia. Pelajar yang mempunyai pra-idea terhadap sesuatu fenomena yang berlaku akan membentuk kerangka alternatif dan pemahaman tersebut akan mempengaruhi konsep sebenar yang diajar guru. Sikap dan persepsi seseorang pelajar terhadap suatu pelajaran akan mendorong motivasi mereka untuk mempelajari pelajaran tersebut. Sikap pelajar terhadap Kimia dipengaruhi oleh faktor minat, beban kerja, pengalaman, persediaaan dan persekitaran serta kaedah pengajaran guru.
            Bagi membantu pelajar menguasai matapelajaran Kimia dengan baik, guru hendaklah menguasai teori pembelajaran bagi memahami proses pembelajaran yang berlaku dalam diri pelajar. Terdapat beberapa teori pembelajaran yang boleh dijadikan rujukan guru, antaranya ialah teori pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, behaviorisme dan kognitif. Teori pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang menumpukan kepada persekitaran pembelajaran di mana isi kandungan pelajaran dikaitkan dengan situasi dunia sebenar. Teori konstruktivisme pula merupakan kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar di mana guru bertindak sebagai fasilitator dan membantu pelajar untuk menghasilkan idea terhadap sesuatu pembelajaran berdasarkan pengalaman pelajar. Teori behaviorisme pula berorientasikan tingkahlaku pelajar yang berkonsepkan rangsangan gerak balas, pengubahsuaian tingkah laku, kecekapan asas, dan kemahiran dalam suatu pembelajaran. Manakala teori pembelajaran kognitif menumpukan kepada kaedah pemikiran pelajar di mana seorang pelajar itu mampu mengelola, menyusun dan mengeluarkan semula pengalaman mereka.
Gaya pembelajaran seseorang pelajar juga merupakan faktor penting untuk menentukan pencapaian pelajar. Terdapat beberapa gaya pembelajaran yang telah dikenalpasti seperti gaya pembelajaran aktivis, refraktor, teoris dan pragmatis. Gaya pembelajaran aktivis merujuk kepada pelajar yang bersifat kreatif dan gemar mencari pengalaman baru. Pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran ini lebih gemar melakukan aktiviti penyelesaian masalah. Gaya pembelajaran refraktor pula terdiri daripada pelajar yang suka berfikir. Pelajar ini mempunyai kemahiran dalam mengumpul dan menganalisis maklumat jadi suatu keputusan akan dibuat dengan mengambil masa yang lama. Manakala individu yang sentiasa melihat pandangan atau idea dari semua sudut dan aspek agar situasi sebenar dapat dilihat dengan jelas adalah pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran teoris dan kegiatan mengaplikasikan idea ke dalam situasi sebenar adalah gaya pembelajaran pragmatis.
Kesimpulannya, perkembangan yang pesat dalam bidang Sains terutamanya Kimia memerlukan generasi yang mahir dalam konsep Kimia. Generasi yang dimaksudkan ialah pelajar-pelajar yang bakal menjadi pelapis kepada cendiakawan sekarang. Oleh itu, memastikan pencapaian yang cemerlang dalam Kimia adalah peranan besar seorang guru. Mengenalpasti gaya pembelajaran pelajar membolehkan guru-guru untuk menggunakan kaedah pengajaran yang sesuai sekaligus meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep Kimia.
           


Wednesday, 9 December 2015

Ulasan Jurnal 10

a)               Tajuk Laporan    : Kesan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam 
                                     Bahasa Inggeris Terhadap Pelajar Universiti Teknologi Malaysia.
Penulis                : Tuah Ishak dan Mohini Mohamed
Sumber             : Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains Dan Matematik, 11-12 Okt 2008
Bilangan MukaSurat : 8 Muka Surat

Laporan ini adalah hasil kajian penulis Tuah Ishak dan Mohini Mohamed untuk mengkaji kesan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) terhadap pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Sampel yang digunakan ialah pelajar dari Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal seramai 309 orang. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah set soal selidik. Hasil kajian melalui analisis statistik deskriptif dan inferensi menunjukkan tahap kesediaan, minat dan keyakinan pelajar terhadap PPSMI adalah pada tahap sederhana dan kurang memuaskan.

Persoalan pertama yang dibincangkan penulis adalah tentang aspek kesediaan dalam kalangan pelajar. Hasil dapatan menunjukkan sebahagian besar dalam kalangan pelajar berada dalam tahap kesediaan yang sederhana. Kajian juga mendapati pelajar perempuan didapati lebih bersedia daripada pelajar lelaki dan kaum bukan bumiputera mempunyai tahap kesediaan yang tinggi berbanding kaum bumiputera. Selain itu, pelajar yang mengikuti aliran STPM juga didapati mempunyai tahap kesediaan yang tinggi dan pelajar dari Fakulti Sains didapati paling bersedia dibandingkan dengan pelajar dari dua fakulti yang lain. Penulis berpendapat pelbagai kemudahan pelajaran dalam Bahasa Inggeris hendaklah disediakan dan aktiviti-aktiviti bertujuan penguasaan Bahasa Inggeris dipergiatkan.

Persoalan seterusnya yang dibincangkan penulis ialah tentang aspek minat untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kajian mendapati tahap minat dalam kalangan pelajar adalah sederhana dan kurang memuaskan. Namun begitu, pelajar-pelajar sedar akan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik untuk kerjaya yang akan datang. Di samping itu, pengajaran dalam dwibahasa menjadi pilihan pelajar kerana pelajar didapati tidak berminat untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris seperti kajian untuk aspek kesediaan, pelajar perempuan, pelajar bukan bumiputera dan pelajar dari Fakulti Sains didapati mempunyai tahap minat yang tinggi. Penulis berpendapat, kurangnya minat dalam kalangan pelajar untuk berbahasa Inggeris adalah kerana kurangnya praktikal dilakukan dalam kehidupan seharian.

Aspek keyakinan merupakan persoalan yang seterusnya dibincangkan oleh penulis. Menurut kajian, pensyarah banyak memberikan bantuan dalam permasalahan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kaedah pengajaran yang diamalkan oleh pensyarah juga diakui berkesan. Kebanyakan pelajar yakin dapat mengikuti pelajaran yang diajar menggunakan Bahasa Inggeris dengan sepenuhnya tetapi kebolehan mereka untuk menjawab soalan-soalan dalam Bahasa Inggeris sangat tidak memuaskan. Penulis berpendapat keyakinan pelajar untuk berbahasa Inggeris boleh dipupuk dengan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.


Bedasarkan kajian yang menunjukkan bahawa kesediaan, minat dan keyakinan pelajar yang di tahap sederhana dan tidak memuaskan, saya berpendapat bahawa pelajar-pelajar hendaklah didedahkan dengan penggunaan Bahasa Inggeris sejak awal. Ini akan membantu pelajar untuk lebih bersedia menghadapi masa depan terutamanya setelah tamat pelajaran serta dapat meningkatkan keyakinan dalam diri para pelajar untuk menggunakan Bahasa Inggeris. Kursus-kursus Bahasa Inggeris di universiti memainkan peranan penting dalam menerapkan minat dan keyakinan dalam diri pelajar. 

Monday, 7 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 7 :  Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Farah Asnida Che Shariff

Bab ini membincangkan tentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, iaitu satu dasar yang telah diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 2003. Dasar ini merupakan satu usaha pihak kerajaan dalam mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk membina satu tamadun dan masyarakat maju bertaraf dunia dan turut menekankan aspek kemajuan industri berasaskan kemajuan ilmu Sains dan Teknologi dan juga taraf pendidikan tinggi.
            Kesedaran terhadap kepentingan komunikasi dalam mengharungi cabaran globalisasi yang memerlukan negara mampu bersaing dengan negara-negara luar dalam segi ekonomi, penguasaan bahasa utama dunia iaitu Bahasa Inggeris dilihat menjadi semakin penting. Bahasa ini telah menjadi bahasa perantaraan ilmu dan keseluruhan maklumat tentang penemuan baru dalam bidang Sains dan Teknologi adalah dalam Bahasa Inggeris. Tanpa penguasaan yang baik dalam bahasa ini mampu memberi kesan yang buruk terhadap tahap ekonomi negara. Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris telah dicadangkan sejak tahun 1993 namun isu bahasa ini semakin panas apabila ramai graduan IPT gagal mendapat pekerjaan disebabkan kelemahan dalam berbahasa dunia ini. Justeru itu, pihak Kementerian Pendidikan bersepakat untuk melaksanakan dasar PPSMI ini.
            Kesediaan guru dalam melaksanakan dasar PPSMI dibincangkan dalam bab ini. Peranan guru dalam memastikan sesuatu dasar yang dilaksanakan kerajaan berkesan adalah sangat besar. Guru perlu melengkapkan diri dengan kefahaman, kemahiran, pengetahuan perguruan serta kepakaran sebagai guru Sains dan Matematik. Guru juga perlu mempunyai keyakinan, kemampuan dan persediaan dari segi emosi untuk memastikan keberkesanan pengajaran mereka. Kaedah pengajaran guru juga perlu dipelbagaikan dan melibatkan pelajar untuk berinteraksi dalam kelas. Dengan persediaan yang cukup, guru akan menjadi lebih yakin untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar. Keyakinan ini akan membantu guru untuk melaksanakan kaedah pengajaran yang kreatif dan inovatif.
            Namun, terdapat banyak cabaran yang dihadapi guru dalam menyampaikan pelajaran dalam Bahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Inggeris yang rendah dalam kalangan guru menyukarkan mereka untuk menyampaikan pelajaran dengan lancar. Selain itu, penggunaan Bahasa Inggeris yang tidak tepat berkebolehan untuk menimbulkan salah faham pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan guru tersebut. Masalah juga timbul apabila pelajar-pelajar terdiri daripada golongan yang lemah dalam Bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat memahami maklumat yang disampaikan guru menyebabkan guru terpaksa mengulang sesi pengajaran dalam bahasa yang difahami mereka. Selain itu, pelajar juga menghadapi masalah untuk mempersembahkan idea mereka kepada guru selepas sesi perbincangan kerana halangan bahasa.

            Pihak kerajaan telah menyediakan keperluan pengajaran yang lengkap termasuk aspek penyediaan kurikulum, perisian, penyediaan buku teks, perkakasan teknologi dan maklumat (ICT) dan latihan-latihan untuk guru-guru. Bahan-bahan sokongan serta alat bantu mengajar (ABM) turut disediakan bagi membantu guru untuk menyampaikan pengajaran dengan kaedah-kaedah yang menarik. Peruntukan yang besar telah dikeluarkan demi memastikan menyiapkan negara untuk bersaing dengan negara-negara luar. Secara keseluruhannya, dasar ini dilihat sebagai langkah yang positif dalam membantu masyarakat untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. Namun, terdapat banyak cabaran yang perlu dikaji terutamanya masalah guru dalam melaksanakan dasar ini agar tidak mempunyai sebarang konfliks.

Friday, 4 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 6 :  Sumbangan Sikap Terhadap Pencapaian Pelajar dalam Matapelajaran Matematik
Azizi Yahaya & Shahrin Hashim

Penulis membincangkan kesan sikap seseorang pelajar terhadap pencapaiannya dalam akademik, khususnya pencapaian dalam matapelajaran Matematik. Matematik adalah satu matapelajaran yang berkonsepkan pemikiran yang kreatif dan inovatif, di mana memerlukan minat dan keinginan seseorang pelajar untuk memahami konsep dalam Matematik. Kajian tentang hubungan antara sikap pelajar dan pencapaian akademik telah banyak dilakukan oleh para pengkaji. Terdapat banyak kajian yang mendapati sikap pelajar mempengaruhi pencapaian mereka namun terdapat juga kajian yang tidak mampu mengaitkan pencapaian yang diperolehi pelajar dengan sikap mereka.
            Dalam kajian ini, sikap pelajar terhadap matapelajaran Matematik dilihat dari tiga aspek yang berbeza iaitu aspek komitmen, perasaan dan wawasan. Dari aspek komitmen, penglibatan pelajar dalam matapelajaran ini samada aktif atau pun tidak dianalisis. Aspek perasaan pula dianalisis melalui soal selidik yang bersifat untuk mengkaji tahap pelajar menyukai matapelajaran tersebut. Manakala aspek wawasan mengkaji usaha dan inisiatif seseorang pelajar itu untuk menguasai Matematik. Ketiga-tiga aspek ini dipercayai mampu untuk membuat penilaian terhadap sikap seseorang pelajar. Hubungan dari setiap aspek yang dikaji dengan aspek yang lain diuji bagi mengesahkan pengaruh sikap pelajar.
            Hasil kajian menunjukkan aspek komitmen dan wawasan dalam sikap pelajar terhadap Matematik adalah tinggi namun dapatan menunjukkan sikap pelajar dari aspek perasaan adalah di tahap yang sederhana. Berdasarkan analisis tentang ketiga-tiga aspek tersebut dengan pencapaian pelajar dalam Matematik, pelajar-pelajar mempunyai sikap yang ingin berusaha untuk kecemerlangan Matematik dan mereka juga menyedari akan kepentingan Matematik terhadap masa depan mereka. Minat dan perasaan gemar akan matapelajaran tersebut tidak terlalu mempegaruhi pencapaian mereka. Hal ini kerana perasaan individu adalah tidak konsisten dan sentiasa berubah mengikut situasi yang tertentu.
            Sikap pelajar terhadap sesuatu perkara merupakan salah satu penyumbang kepada kecemerlangan mereka dalam pelajaran terutamanya dari aspek komitmen dan wawasan. Perkara yang mempengaruhi kedua-dua aspek ini adalah tahap motivasi dalam diri pelajar. Pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan akan berusaha dengan bersungguh-sungguh walaupun sesuatu pelajaran itu adalah sukar. Perasaan tidak gemar terhadap sesuatu yang baik dianggap sebagai cabaran dalam menguasai sesuatu perkara tersebut. Pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan pelajar yang bermotivasi tinggi adalah ibu bapa dan guru-guru. Dorongan dan semangat melalui pelbagai kaedah perlu diberikan kepada mereka agar sentiasa optimis dalam pelajaran.
            Sebagai penutup, penulis telah mencadangkan beberapa perkara untuk golongan guru dalam mempengaruhi sikap pelajar agar sentiasa positif terhadap pelajaran. Guru-guru disaran untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran agar mengelakkan perasaan bosan pelajar untuk mempelajari pelajaran tersebut. Contoh-contoh pengaplikasian Matematik dalam kehidupan realiti turut memberi kesedaran kepada mereka akan kepentingan Matematik sekaligus mempengaruhi fikiran mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam Matematik untuk masa depan yang cerah.


Thursday, 3 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 5 :  Faktor-Faktor yang Menyebabkan Stress dalam Kalangan Guru Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Daerah Johor Bahru
Azizi Yahaya & Norliza Othman

Dasar-dasar pembaharuan dan reformasi pendidikan bukan sahaja memberi kesan yang positif malahan juga membawa pelbagai masalah baru dalam konteks pembinaan bangsa dan negara. Selain pelajar, golongan guru merupakan antara pihak yang terlibat secara langsung dalam setiap pembaharuan dalam sistem pendidikan. Mereka perlu menggalas tanggungjawab dalam memastikan setiap matlamat dan objektif yang ditetapkan pihak kerajaan dapat dicapai. Perkara ini sekaligus menyebabkan guru-guru mengalami tekanan pada tahap yang tinggi.

            Faktor-faktor yang menyumbang kepada stress dalam kalangan guru dibincangkan dalam bab ini. Faktor-faktor ini dibahagikan kepada beberapa aspek utama iaitu bebanan kerja, disiplin pelajar, hubungan interpersonal dengan rakan sekerja, persekitaran kerja dan reformasi pendidikan. Penulis telah membuat kajian terhadap sebilangan guru dalam mencari faktor yang menjadi penyumbang terbesar kepada stress dalam kalangan mereka. Hasil kajian menunjukkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar merupakan faktor utama guru-guru berasa stress. Faktor kedua ialah reformasi pendidikan, diikuti bebanan kerja dan seterusnya faktor persekitaran pekerja dan hubungan interpersonal antara guru di tahap yang rendah.

Terdapat perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan perempuan dengan faktor masalah disiplin pelajar dan hubungan interpersonal dalam kalangan mereka manakala tidak terdapat perbezaan yang signifikan bagi faktor-faktor lain mengikut jantina guru. Dari aspek lokaliti, terdapat perbezaan yang signifikan antara guru-guru di sekolah luar bandar dan bandar dengan faktor reformasi pendidikan sahaja. Manakala, untuk empat faktor guru stress yang lain tidak mempunya perbezaan yang signifikan dengan lokasi sekolah guru-guru berkenaan. Dari aspek pengalaman bekerja yang dimiliki guru-guru, hanya terdapat perbezaan yang signifikan antara pengalaman mengajar dengan masalah disiplin pelajar sahaja. Bagi faktor-faktor lain, pengalaman mengajar tidak mempengaruhi tahap stress yang dihadapi guru-guru. Hal yang sama turut dilihat apabila kajian dibuat mengikut aspek umur guru. Hanya tahap stress disebabkan masalah disiplin pelajar berbeza dalam kalangan guru mengikut umur guru tersebut.

Dalam bab ini, penulis turut mengutarakan beberapa cadangan untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru. Terdapat beberapa pihak perlu memainkan peranan dalam hal ini seperti pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, guru-guru, pentadbir sekolah serta rakan-rakan sejawat. Pihak kerajaan perlu menangani masalah stress dalam kalangan guru ini dengan menganjurkan bengkel-bengkel, seminar atau kursus-kursus yang boleh membantu guru untuk melancarkan pekerjaan harian sekaligus dapat mengurangkan kadar stress dalam diri setiap guru. Kaedah pengurusan stress yang meliputi cara mengurus masa, kemahiran berkomunikasi dan cara mengurus pelajar yang tidak berdisiplin juga perlu didedahkan. Galakan perlu diberikan kepada guru untuk menyertai aktiviti-aktiviti sukan bagi memastikan stress yang dihadapi tidak memberi impak kepada kesihatan guru-guru.

Selain itu, guru-guru juga perlu mempunyai kesedaran akan kepentingan dan kebaikan yang dilakukan pihak kerajaan terhadap sistem pendidikan negara. Motivasi yang tinggi dan fikiran yang positif perlu dipupuk dalam diri guru itu sendiri untuk mencapai matlamat dan objektif pendidikan negara. Hal ini dapat mempertingkatkan semangat mengajar dan sekaligus rasa stress yang dihadapi dapat dikurangkan. Guru-guru perlu meningkatkan usaha untuk bergerak seiring dengan reformasi pendidikan yang dilaksanakan. Kelemahan diri seperti lemah dalam Bahasa Inggeris dan lemah dalam penggunaan ICT perlu diatasi. Pihak pentadbir sekolah pula bertanggungjawab untuk menyediakan kelengkapan yang cukup dan memastikan persekitaran sekolah dalam keadaan yang ceria. Persekitaran yang baik bukan sahaja dapat memupuk semangat dalam diri guru, bahkan juga pelajar. Rakan-rakan sejawat pula perlulah memainkan peranan untuk saling tolong-menolong antara satu sama lain. Persefahaman yang jitu antara guru-guru akan mewujudkan rasa selesa untuk menjalankan tugas seharian.

Kesimpulannya, masalah disiplin dalam kalangan pelajar menjadi faktor dominan yang menyebabkan stress dalam kalangan guru-guru. Pihak yang paling bertanggungjawab dalam memastikan pelajar-pelajar berdisiplin bukan pihak guru atau sekolah tetapi pihak ibu bapa. Pihak ibu bapa hendaklah memberi kerjasama dengan pihak sekolah dalam membentuk peribadi anak-anak mereka. Sikap menangkan anak hanya mendorong sikap besar kepala dalam diri anak-anak.
           
           


Wednesday, 2 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 4 : Pelaksanaan Kurikulum Kimia KBSM di Kalangan Guru-Guru Pelatih Jurusan Kimia di UTM
Azizi Yahaya & Junaidah Mohamad Hasan

Kurikulum Kimia KBSM adalah merupakan kurikulum baru yang telah disemak semula pada tahun 2002. Dalam kurikulum ini, pendekatan pengajaran dan pembelajaran melibatkan proses pemerolehan pengetahuan dan penguasaan kemahiran secara bersepadu dengan mengambil kira serta memanfaatkan kecerdasan yang pelbagai. Pendekatan ini merangkumi pendekatan konstruktivisme, penglibatan pelajar secara aktif, penggunaan kemahiran berfikir secara berfikrah, pengoperasian dan aplikasi saintifik di samping pembentukan sikap saintifik dan nilai murni.

            Dalam bab ini, penulis membincangkan perlaksanaaan kurikulum Kimia KBSM dari aspek kemahiran saintifik, kemahiran berfikir dan juga penerapan nilai-nilai murni dalam sesi pengajaran. Perbincangan ini difokuskan kepada skop keperluan dan tahap prestasi latihan mengajar oleh guru-guru pelatih berdasarkan aspek-aspek tersebut. Menurut kajian penulis, guru-guru pelatih lebih menekankan kemahiran saintifik iaitu kemahiran menguasai konsep-konsep dalam matapelajaran Kimia berbanding kemahiran berfikir dan penerapan nilai murni dalam sesi pengajaran. Kemahiran saintifik diterapkan melalui aktiviti amali yang dilakukan di dalam kelas. Aktiviti-aktiviti yang boleh menerapkan kemahiran berfikir memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan. Oleh itu, guru-guru pelatih sukar untuk menerapkan kemahiran tersebut dalam sesi pengajaran. Manakala, nilai-nilai murni diterapkan melalui proses-proses spontan seperti meminta pelajar untuk membantu rakan menyelesaikan masalah dan sebagainya.

            Prestasi latihan mengajar dalam kalangan guru pelatih dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti aspek-aspek dalam Kurikulum Kimia KBSM dan masalah-masalah yang dihadapi guru pelatih sewaktu latihan mengajar di sekolah diadakan. Dari aspek kemahiran saintifik, guru pelatih yang berprestasi bagus mampu menerapkan kemahiran ini dalam kalangan pelajar. Apabila kemahiran saintifik dikuasai guru pelatih, pelbagai kaedah dan pendekatan mampu digunakan dalam sesi pembelajaran dan sekaligus meningkatkan tahap keyakinan guru untuk mengajar. Penekanan yang kurang diberikan dalam menerapkan kemahiran berfikir disebabkan faktor masa latihan mengajar yang kebiasaannya pada hujung tahun. Guru pelatih diberi tekanan oleh pihak sekolah untuk menghabiskan silibus kerana peperiksaan akhir yang perlu ditempuhi para pelajar. Penerapan nilai murni dalam matapelajaran Kimia turut kurang diberikan tekanan kerana kurangnya penekanan dari pihak sekolah dan anggapan bahawa nilai murni telah diajar dalam Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam.

            Beberapa masalah yang dihadapi guru pelatih sewaktu latihan mengajar turut dibincangkan dalam bab ini. Antara masalah yang sering berlaku dalam kalangan guru pelatih ialah masalah kekurangan alat radas dan bahan kimia di sekolah, masalah dengan pihak sekolah dalam menjalankan aktiviti dan masalah kesediaan diri guru-guru pelatih untuk mengajar di dalam kelas. Masalah kekurangan alat radas dan bahan kimia agak memberi kesan kepada prestasi latihan mengajar seseorang guru pelatih. Hal ini kerana aktiviti yang dirancang dalam sesi pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan ekoran dari kekurangan alat-alat tersebut. Tambahan pula, penggunaan alat radas ini sebagai bahan bantu mengajar dapat memberi gambaran yang jelas kepada pelajar terhadap alatan sebenar yang dipelajari mereka.

Masalah yang dihadapi guru pelatih dengan pihak pentadbiran sekolah juga mampu mempengaruhi prestasi latihan mengajar mereka. Sikap sesetengah pihak sekolah yang memberikan kerja yang tidak masuk akal dan mengambil kesempatan terhadap guru pelatih memberi tekanan dari segi emosi sekaligus mengakibatkan prestasi mengajar adalah pada tahap sederhana. Masalah kesediaan diri dalam kangan guru pelatih akan mempengaruhi corak pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan. Guru pelatih yang tidak bersedia untuk mengajar akan sentiasa berasa kurang selesa dan sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Hal ini akan menimbulkan tekanan kepada guru pelatih tersebut sekaligus akan menjejaskan prestasi latian mengajar mereka.

Secara keseluruhannya, bab ini telah memberikan gambaran tentang kesedaran terhadap perlaksanaan Kurikulum Kimia dalam kalangan guru-guru pelatih. Aspek kemahiran saintifik masih menjadi tumpuan guru-guru pelatih berbanding kemahiran berfikir dan nilai murni yang sangat penting untuk menghasilkan generasi berdaya saing menjelang 2020. Tulisan ini hendak memberi kesedaran kepada pihak sekolah untuk menekankan aspek-aspek dalam Kurikulum Kimia agar matlamat pendidikan Kimia dapat dicapai.


Tuesday, 1 December 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 3 :  Tahap Penguasaan Kemahiran Manipulatif di Kalangan Guru Pelatih Kimia Universiti Teknologi Malaysia
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Fathiah Mohamed@Mohd Zamani

Proses pengajaran dan pembelajaran adalah lebih berkesan apabila ia melibatkan interaksi antara guru dan pelajar. Salah satu pendekatan yang bagus dalam proses pembelajaran Sains adalah menerusi pengalaman sendiri seseorang pelajar di mana pendekatan ini mengutamakan pendekatan inkuiri dan penemuan. Selain memberi peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan masalah secara penyelidikan, kaedah ini juga mampu melahirkan pelajar yang berkemahiran saintifik dan berkemahiran manipulatif. Sebagai tenaga pengajar, kemahiran-kemahiran yang hendak dititikberatkan dalam diri para pelajar haruslah dikuasai terlebih dahulu.

            Dalam bab ini, perbincangan mengenai tahap penguasaan kemahiran manipulatif dalam kalangan bakal guru meliputi kemahiran mengguna dan mengendali peralatan dan bahan Sains dengan betul, kaedah menyimpan peralatan dan bahan Sains dengan betul dan selamat, kemahiran membersihkan peralatan Sains dengan betul, kemahiran mengendali spesimen dengan betul dan cermat serta kemahiran melakar spesimen, peralatan dan bahan Sains dengan tepat. Secara keseluruhannya, terdapat empat aspek penting yang boleh diukur dalam mengenalpasi tahap kemahiran manipulatif dalam kalangan guru pelatih iaitu aspek pengendalian peralatan Sains, aspek pengendalian bahan kimia, teknik penggunaan peralatan kimia dan teknik amali.

            Tahap penguasaan kemahiran manipulatif dari aspek pengendalian peralatan Sains adalah tinggi. Dalam aspek ini, beberapa tahap pengendalian peralatan Sains dapat dikenalpasti. Antaranya, kemahiran guru-guru pelatih untuk membuat pemasangan radas, penggunaan penyepit, termometer, spatula dan kasa dawai semasa proses pemanasan adalah di tahap yang yang tinggi. Namun, mereka didapati kurang mahir untuk mengendalikan penunu bunsen dan kemahiran menggunakan buret dan pipet. Manakala kemahiran guru-guru pelatih dari aspek pengendalian bahan kimia juga adalah di tahap yang tinggi. Ini bermaksud para guru pelatih mampu mengenalpasti tujuan memastikan label botol reagen berada di atas semasa memindahkan larutan tersebut ke dalam bikar, menggunakan kebuk wasap serta mahir mengendalikan bahan kimia berkepekatan tinggi dan sisa bahan kimia.

            Teknik-teknik dalam mengendalikan peralatan kimia juga berjaya dikuasai oleh bakal-bakal guru ini. Teknik untuk menggunakan termometer, pipet serta teknik membersihkan peralatan-peralatan kimia adalah pada tahap yang baik. Namun, teknik mengendalikan larutan yang berbaki di hujung pipet adalah pada tahap yang sederhana. Bagi teknik penyalaan penunu bunsen, lubang udara telah dipastikan tertutup terlebih dahulu sebelum melaraskan secara perlahan untuk mendapatkan nyalaan biru. Tahap yang sederhana juga dikenalpasti bagi kemahiran guru-guru pelatih untuk memindahkan bahan pepejal yang melekat pada spatula ke piring kaca.

            Penguasaan teknik amali dalam kalangan guru pelatih secara keseluruhannya berada di tahap sederhana. Antara pemerhatian yang dilihat ialah kelalang kon dialas dengan menggunakan jubin putih, teknik pencairan asid atau alkali pekat dan teknik pembilasan larutan yang terpercik di bahagian dalam kelalang kon semasa pentitratan dilakukan dengan baik dan teknik bacaan dalam proses pentitratan juga dilakukan dengan betul.Namun, teknik pemplotan graf yang tepat dan teknik pengendalian pili yang sukar dibuka tidak dikuasai dengan baik. Penguasaan pada tahap yang sederhana juga ditunjukkan untuk teknik pengawalan pili buret semasa pentitratan.

            Pemerhatian terhadap penguasaan kemahiran manipulatif dari pelbagai aspek ini adalah bertujuan untuk memberi gambaran dan kesedaran kepada bakal-bakal guru tentang kelemahan-kelamahan yang dimiliki dari aspek tertentu. Ini membolehkan guru-guru pelatih ini memperbaiki dan meningkatkan kemahiran sebelum memikul tanggungjawab untuk menerapkan kemahiran-kemahiran ini dalam diri pelajar mereka. Penguasaan yang baik dalam kemahiran manipulatif mampu memberikan impak positif kepada bakal pelajar yang diajar mereka nanti.


RIMUP: Berjaya Kukuh Perpaduan Dan Bentuk Semangat Muhibah

RIMUP: Berjaya Kukuh Perpaduan Dan Bentuk Semangat Muhibah

[Buletin Utama TV3 18 September 2015] RIMUP: Berjaya Kukuh Perpaduan Dan Bentuk Semangat Muhibah

Posted by Kementerian Pendidikan Malaysia on Monday, October 12, 2015


Sumber : Buletin Utama TV3, 18 September 2015

Ulasan Jurnal 9

a)        Tajuk       : Pencapaian Bahasa dan Matematik dalam kalangan Pelajar Bandar dan Luar
                            Bandar : Pengalaman Rakyat Malaysia
Penulis    : Parmjit Singh, Arba Abdul Rahman, Teoh Sian Hoon

Sumber   : Journal of Science and Mathematics Education in Southest Asia 2010, Vol.33                   No. 1,65-85

Jurnal ini bertujuan untuk mengkaji hubungan pencapaian Matematik dalam kalangan pelajar di bandar dan di luar bandar serta pengaruh PPSMI dalam pencapaian pelajar. Sampel yang digunakan adalah seramai 93 orang pelajar dari sekolah bandar dan 93 orang pelajar dari sekolah luar bandar. Instrumen yang digunakan penulis dalam kajian ialah kertas soalan untuk Bahasa Inggeris (EMT) dan kertas soalan untuk dwibahasa, iaitu gabungan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (EBMMT). Hasil dari kajian mendapati kelemahan pelajar dalam pencapaian Matematik tidak banyak dipengaruhi oleh bahasa yang digunakan dalam kertas peperiksaan.

Persoalan pertama yang dibincangkan penulis ialah perbezaan markah dalam ujian EMT dan EBMMT dalam kalangan pelajar di bandar. Hasil kajian menunjukkan tiada perbezaan markah yang signifikan untuk kedua-dua ujian bagi pelajar di kawasan ini. Penulis berpendapat pencapaian yang rendah dalam kalangan pelajar di bandar tidak boleh disebabkan faktor bahasa. Seterusnya, kajian ini dijalankan kepada pelajar sekolah luar bandar. Daripada hasil kajian, terdapat perbezaan markah yang signifikan dalam ujian EMT dan EBMMT, dimana pencapaian ujian EBMMT adalah lebih tinggi berbanding ujian EMT. Penulis berpendapat pencapaian Matematik pelajar di luar bandar dipengaruhi oleh faktor bahasa. 

Selain itu, persoalan tentang perbezaan markah ujian EMT antara pelajar di luar bandar dan di bandar terjawab dengan hasil kajian yang mendapati terdapatnya perbezaan yang signifikan. Pencapaian Matematik bagi pelajar di bandar didapati lebih tinggi berbanding pelajar di luar bandar. Penulis berpendapat bahawa perbezaan pencapaian dalam kalangan pelajar adalah disebabkan faktor lokasi.

            Pada pendapat saya, jurang pencapaian dalam kalangan pelajar di bandar dan di luar bandar tidak boleh dipandang enteng oleh pihak yang bertanggungjawab. Salah satu faktor adalah mungkin disebabkan kurangnya kemudahan di kawasan luar bandar seperti akses internet yang menghadkan cara pembelajaran pelajar di luar bandar. Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini hendaklah dibincangkan agar jurang ini dapat dikurangkan.