Friday, 13 November 2015

Ulasan Jurnal 4

a)            Tajuk Artikel Majalah : Mengantarabangsakan Sistem Pendidikan melalui Pengajaran
                            dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris 
         Penulis     : Tunku Munawirah Putra
         Sumber     : Scientific Malaysian Magazine, November 2, 2012 in Issue 3/2012

Artikel yang ditulis oleh Tunku Munawirah Putra ini membincangkan mengenai impak pelaksanaan dan pemansuhan PPSMI. Menurut beliau, sasaran negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk mempunyai lebih ramai penyelidik, saintis dan jurutera tidak berjaya. Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) pula ditugaskan untuk memupuk dan mengekalkan modal insan kelas pertama dunia. Menurut beliau, PPSMI dapat membantu sasaran negara dalam menghasilkan modal insan kelas pertama. Namun, persoalan lain pula timbul dimana pemansuhan dasar PPSMI dan digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). 

Menurut penulis, liberalisasi dalam pendidikan telah berlaku dimana hanya golongan elit yang mampu ke sekolah antarabangsa sahaja yang menggunakan dasar PPSMI ini. Semua orang berhak untuk menerima pendidikan yang berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi mereka. Walaupun dasar PPSMI adalah satu dasar Sains dan bukan dasar bahasa, kesan positif terhadap subjek Bahasa Inggeris dapat dilihat. Tanpa PPSMI, pendedahan pelajar kepada Bahasa Inggeris semakin berkurangan dan merosot. Penulis menyatakan keseimbangan haruslah dicapai untuk memiliki ilmu pengetahuan yang lebih mendalam seiring dengan kemajuan Sains dan Teknologi dunia. Bahasa Malaysia mempunyai kelebihannya yang tersendiri terutama dalam bidang seni, sastera dan sebagainya. Lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan negara maju yang lain sekiranya Bahasa Inggeris digunakan dalam bidang Sains dan Teknologi.


Berdasarkan petikan tersebut, saya sangat bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh penulis. Pelaksanaan dasar PPSMI mampu memacu negara ke arah yang lebih baik dan masyarakat kita bukan hanya sebagai pengguna tetapi sebagai pencipta atau pereka teknologi. Liberalisasi dalam pendidikan tidak harus berlaku kepada negara maju. Pendidikan amat penting kepada anak bangsa dan status sosioekonomi tidak harus dipersoalkan dalam melahirkan modal insan kelas pertama. Dalam dunia Sains dan Teknologi kini, Bahasa Inggeris sangat penting dalam mendalami dan memahami ilmu pengetahuan. Saya berpendapat, walaupun PPSMI ini dilaksanakan, Bahasa Kebangsaan tidak akan dilupakan oleh anak bangsa kerana kita masih menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda kita. 

No comments:

Post a Comment