Wednesday, 25 November 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 1 :  Tahap Kompetensi Guru Sekolah Rendah Terhadap Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Fadhlina Mohd Azizuddin

Bab ini membincangkan tentang tahap kompetensi guru dalam sesi pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Perbincangan ini adalah merujuk kepada kerelevanan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)  yang telah dilaksanakan di negara kita suatu ketika dahulu. Kepentingan Bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi diakui sangat jelas memandangkan bahasa utama dunia adalah Bahasa Inggeris. Perlaksanaan ini turut dipengaruhi oleh kesedaran pihak kerajaan tentang pelajar-pelajar di negara kita yang agak lemah dalam bahasa utama dunia ini. Namun, mempelajari Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa yang sukar dikuasai pelajar adalah sesuatu yang sangat mencabar.

            Dalam hal ini, tahap kompetensi atau kesediaan tenaga pengajar menggunakan Bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik merupakan faktor yang paling utama dalam menentukan keberkesanan sesuatu perlaksanaan.Pelbagai langkah dan usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk membantu guru-guru ini menjalankan sesi pembelajaran yang berkesan. Hasil kajian menunjukkan tahap kompetensi guru untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah pada tahap sederhana. Hal ini berikutan guru-guru yang turut lemah dalam Bahasa Inggeris. Permintaan untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris telah menurunkan tahap keyakinan seseorang guru dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Mereka berasa bimbang akan maklumat yang diterima pelajar adalah berbeza dengan apa yang hendak disampaikan. Namun, kursus-kursus yang dihadiri sangat membantu dalam meningkatkan keyakinan serta kebolehan guru-guru dalam berbahasa Inggeris.

            Selain itu, tahap kompentensi guru berdasarkan aspek kaedah pengajaran turut dibincangkan dalam bab ini. Kaedah pengajaran yang digunakan oleh seseorang guru dalam memastikan pelajar dapat menerima maklumat yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris agak berlainan dari kaedah pengajaran yang biasa digunakan. Guru-guru perlu lebih kreatif dalam menterjemahkan maklumat kepada aktiviti-aktiviti yang boleh membantu pelajar memahami akan sesuatu topik tersebut. Kajian yang dijalankan membuktikan tahap kompetensi guru melalui aspek kaedah pengajaran adalah di tahap tinggi. Ini bermaksud guru-guru mampu untuk menarik perhatian pelajar untuk memahami sesuatu perkara melalui aktiviti-aktiviti yng dijalankan.

            Tahap kompetensi guru dalam aspek penggunaan bahan bantu mengajar juga dilihat tinggi. Guru-guru tidak mempunyai masalah dalam menggunakan bahan bantu mengajar apabila sesi pembelajaran dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris. Tambahan pula, bahan bantu mengajar merupakan suatu elemen yang penting dalam memastikan keberkesanan sesi pembelajaran. Contohnya, CD Rom yang disediakan pihak kerajaan mempunyai visual yang mampu menarik perhatian pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran dalam kelas dengan bersemangat.

            Secara keseluruhannya, tahap kompetensi guru-guru berdasarkan penggunaan Bahasa Inggeris dan penggunaan bahan bantu mengajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik dilihat tidak mempunyai perbezaan yang signifikan. Namun, berdasarkan aspek kaedah pengajaran, tahap kompetensi guru dalam matapelajaran Sains dan Matematik dilihat mempunyai perbezaan yang signifikan. Hal ini mungkin disebabkan pembelajaran Matematik yang berasaskan nombor dan simbol memberi kelebihan kepada guru Matematik berbanding Sains yang memerlukan pemahaman dari segi konsep dan fenomena yang lebih berbentuk ayat.

No comments:

Post a Comment