Friday, 27 November 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 2 :  Kepentingan Kefahaman Konsep dalam Matematik
Azizi Yahaya & Elanggovan A/L M. Savarimuthu

Kefahaman dan kebolehan pelajar untuk memahami dan menguasai sesuatu konsep dalam pelajaran adalah merupakan objektif pengajaran setiap guru. Dalam memastikan hal ini berlaku, kaedah pengajaran guru dan faktor-faktor yang mempengaruhi sesi pembelajaran yang berkesan merupakan perkara penting untuk diketahui. Penguasaan konsep asas Matematik dalam kalangan pelajar dapat membantu mereka untuk memahami konsep-konsep kompleks yang dipelajari. Kelemahan dalam konsep asas akan mendorong kepada kesukaran seseorang pelajar untuk memahami konsep-konsep Matematik yang lain seterusnya memberi kesan buruk kepada minat pelajar tersebut dalam menguasai matapelajaran Matematik.

            Dalam bab ini, penulis meninjau beberapa aspek daripada pendapat ahli-ahi penyelidik dan psikologi mengenai kepentingan kefahaman konsep dalam pembelajaran Matematik. Ia juga memberi gambaran berhubung pembentukan konsep yang betul. Di samping itu, penekanan diberikan juga kepada kepentingan pengkaedahan pembelajaran dan bagaimana ia dapat membantu pelajar dalam memahami sesuatu konsep dengan jelas seterusnya mampu mengaplikasi kemahiran Matematik dalam kehidupan seharian. Sekali lagi dalam hal ini, guru adalah elemen utama dalam memastikan konsep-konsep Matematik mampu dikuasai oleh pelajar-pelajar mereka. Kebolehan pelajar dalam menyelesaikan masalah Matematik mampu menjadi pengukur terhadap kefahaman konsep Matematik seseorang pelajar tersebut.

            Keseluruhan ahli penyelidik bersetuju bahawa pelajar yang tidak memahami konsep Matematik akan menghadapi masalah dalam pemahaman Matematik secara keseluruhannya. Pembentukan konsep membolehkan pelajar untuk mengenal sesuatu secara berasingan, mengenalnya dan seterusnya dapat membezakan sesuatu benda dengan benda yang lain. Ahli psikologi turut mendapati konsep yang sudah dikuasai akan mempengaruhi tahap pembelajaran isi kandungan yang baru. Konsep yang kurang jelas juga berpunca dari kurangnya minat seseorang pelajar dalam pembelajaran. Hal ini boleh dikaitkan dengan bahan pengajaran yang tidak menepati objektif pengajaran, organisasi kandungan yang tidak sistematik, persekitaran pembelajaran yang kurang memuaskan dan juga pendekatan pembelajaran yang statik.

            Kaedah pembelajaran yang mengandungi unsur penyampaian isi pelajaran oleh guru, perbincangan antara pelajar dan guru serta perbincangan yang wujud dalam kalangan pelajar itu merupakan satu pendekatan yang mampu mengukuhkan konsep sesuatu pembelajaran. Kerja-kerja praktikal, latih tubi bagi kemahiran asas, aktiviti penyelesaian masalah dan aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pelajar menyelidik atau mengkaji kaedah-kaedah yang boleh digunakan dalam menyelesaikan masalah Matematik mampu untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep itu. Pendekatan melalui pengalaman seperti aktiviti yang memerlukan pelajar membina model-model pelajaran juga dapat membantu pelajar mengembangkan tahap pemikiran mereka. Kaedah pengajaran yang pelbagai serta persekitaran yang berbeza mampu menarik minat pelajar untuk mempelajari serta meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu pelajaran tersebut.


            Kesimpulannya, pedagogi yang betul mampu menanam konsep asas Matematik dalam diri pelajar dengan menarik minat mereka untuk belajar dan menggunakan pendekatan yang kreatif untuk memastikan konsep itu difahami dengan mendalam. Kefahaman terhadap konsep dalam Matematik penting untuk membolehkan pelajar memperbaiki dan meningkatkan mutu pendidikan negara untuk menghasilkan generasi Malaysia yang bukan sahaja kreatif dan inovatif dalam pemikiran mereka malah berketerampilan dan berintelek tinggi.

Wednesday, 25 November 2015

Permasalahan dalam Pendidikan Sains dan Matematik

BAB 1 :  Tahap Kompetensi Guru Sekolah Rendah Terhadap Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim dan Fadhlina Mohd Azizuddin

Bab ini membincangkan tentang tahap kompetensi guru dalam sesi pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Perbincangan ini adalah merujuk kepada kerelevanan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)  yang telah dilaksanakan di negara kita suatu ketika dahulu. Kepentingan Bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi diakui sangat jelas memandangkan bahasa utama dunia adalah Bahasa Inggeris. Perlaksanaan ini turut dipengaruhi oleh kesedaran pihak kerajaan tentang pelajar-pelajar di negara kita yang agak lemah dalam bahasa utama dunia ini. Namun, mempelajari Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa yang sukar dikuasai pelajar adalah sesuatu yang sangat mencabar.

            Dalam hal ini, tahap kompetensi atau kesediaan tenaga pengajar menggunakan Bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik merupakan faktor yang paling utama dalam menentukan keberkesanan sesuatu perlaksanaan.Pelbagai langkah dan usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk membantu guru-guru ini menjalankan sesi pembelajaran yang berkesan. Hasil kajian menunjukkan tahap kompetensi guru untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah pada tahap sederhana. Hal ini berikutan guru-guru yang turut lemah dalam Bahasa Inggeris. Permintaan untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris telah menurunkan tahap keyakinan seseorang guru dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Mereka berasa bimbang akan maklumat yang diterima pelajar adalah berbeza dengan apa yang hendak disampaikan. Namun, kursus-kursus yang dihadiri sangat membantu dalam meningkatkan keyakinan serta kebolehan guru-guru dalam berbahasa Inggeris.

            Selain itu, tahap kompentensi guru berdasarkan aspek kaedah pengajaran turut dibincangkan dalam bab ini. Kaedah pengajaran yang digunakan oleh seseorang guru dalam memastikan pelajar dapat menerima maklumat yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris agak berlainan dari kaedah pengajaran yang biasa digunakan. Guru-guru perlu lebih kreatif dalam menterjemahkan maklumat kepada aktiviti-aktiviti yang boleh membantu pelajar memahami akan sesuatu topik tersebut. Kajian yang dijalankan membuktikan tahap kompetensi guru melalui aspek kaedah pengajaran adalah di tahap tinggi. Ini bermaksud guru-guru mampu untuk menarik perhatian pelajar untuk memahami sesuatu perkara melalui aktiviti-aktiviti yng dijalankan.

            Tahap kompetensi guru dalam aspek penggunaan bahan bantu mengajar juga dilihat tinggi. Guru-guru tidak mempunyai masalah dalam menggunakan bahan bantu mengajar apabila sesi pembelajaran dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris. Tambahan pula, bahan bantu mengajar merupakan suatu elemen yang penting dalam memastikan keberkesanan sesi pembelajaran. Contohnya, CD Rom yang disediakan pihak kerajaan mempunyai visual yang mampu menarik perhatian pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran dalam kelas dengan bersemangat.

            Secara keseluruhannya, tahap kompetensi guru-guru berdasarkan penggunaan Bahasa Inggeris dan penggunaan bahan bantu mengajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik dilihat tidak mempunyai perbezaan yang signifikan. Namun, berdasarkan aspek kaedah pengajaran, tahap kompetensi guru dalam matapelajaran Sains dan Matematik dilihat mempunyai perbezaan yang signifikan. Hal ini mungkin disebabkan pembelajaran Matematik yang berasaskan nombor dan simbol memberi kelebihan kepada guru Matematik berbanding Sains yang memerlukan pemahaman dari segi konsep dan fenomena yang lebih berbentuk ayat.

Ulasan Jurnal 8

a)               Tajuk        : Persepsi Guru Sains terhadap Masalah Pelaksanaan Pengajaran Subjek
                             Sains (PPSMI) di Sekolah Rendah Kawasan Skudai, Johor Bahru.

Penulis     : Aziz Bin Nordin dan Yang See Boon
Sumber    : Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia
Bilangan Muka Surat: 7

Jurnal ini adalah untuk meninjau persepsi guru Sains terhadap pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran  Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah di kawasan Skudai, Johor Bahru serta hubungan antara persepsi guru dengan faktor-faktor lain seperti tahap umur dan pencapaian akademik pelajar. Dalam kajian ini, persepsi guru terbatas kepada faedah pelaksanaan PPSMI, pendedahan maklumat dan juga masalah yang dihadapi. Sampel yang telah digunakan dalam kajian ini ialah seramai 87 orang guru Sains dari 16 buah sekolah rendah di sekitar Skudai. Kajian yang dijalankan penulis berbentuk deskriptif dan instrumen yang digunakan ialah borang soal selidik. Kajian ini mendapati persepsi guru terhadap pendedahan maklumat tentang PPSMI ialah pada tahap positif rendah manakala persepsi terhadap faedah dan masalah yang dihadapi ialah tahap negatif rendah.

Salah satu persoalan ialah persepsi guru terhadap pendedahan maklumat tentang PPSMI. Hasil kajian menunjukkan persepsi guru terhadap pendedahan maklumat melalui kursus adalah pada tahap positif tinggi dimana kursus dapat membantu guru dalam menggunakan alat bahan yang disediakan dan keyakinan guru dalam mengajar matapelajaran Sains dalam Bahasa Inggeris juga dapat ditingkatkan. Penulis berpendapat latihan-latihan yang diberikan kepada guru melalui kursus ini dapat melatih guru untuk menyampaikan maklumat dengan tepat. Guru berpendapat pelaksanaan PPSMI tidak menyumbang kepada peningkatan prestasi pelajar dalam matapelajaran Sains. Namun begitu, pelaksanaan PPSMI tetap menyumbang kepada peningkatan kefasihan pelajar bertutur dalam Bahasa Inggeris dan alatan multimedia yang disediakan juga menarik minat para pelajar dalam sesi pembelajaran. Penulis berpendapat pembelajaran ini dapat melatih serta meningkatkan keyakinan pelajar untuk terus bertutur dalam bahasa tersebut.

Manakala persepsi guru terhadap masalah yang dihadapi sepanjang perlaksanaan PPSMI juga adalah pada tahap negatif rendah. Penulis berpendapat masalah-masalah yang dihadapi guru akan menjejaskan sesi pembelajaran apabila pelajar mengambil masa yang lama untuk memahami sesuatu pelajaran, guru pula akan kesempitan masa untuk menghabiskan silibus yang banyak. Seterusnya, hasil kajian mendapati persepsi guru dan pencapaian akademik para pelajar tidak mempunyai kaitan yang signifikan. Penulis berpendapat kemahiran dan pengetahuan guru akan mempengaruhi masalah yang dihadapi.

           Berdasarkan jurnal ini, saya berpendapat masalah yang dihadapi guru-guru boleh diatasi jika persepsi utama guru terhadap sesuatu pelaksanaan itu adalah positif. Jika penggunaan masa diambil untuk menggunakan alatan multimedia yang disediakan adalah terlalu lama ekoran ketidakpakaran guru-guru, perkara ini hendaklah dipandang serius. Kursus-kursus untuk mengajar guru-guru cara yang betul dalam menggunakan peralatan adalah wajib demi menjamin sesi pembelajaran berjalan lancar.

Thursday, 19 November 2015

Pembelajaran Abad 21: Bawa perkembangan positif dalam pendidikan

Buletin Utama (21 Ogos 2015) - Pembelajaran Abad 21: Bawa perk...

Buletin Utama (21 Ogos 2015) - Pembelajaran Abad 21: Bawa perkembangan positif dalam pendidikan

Posted by Kementerian Pendidikan Malaysia on Wednesday, September 9, 2015

Sumber : Buletin Utama TV3, 18 Ogos 2015

Ulasan Jurnal 7

a)                Tajuk           : Bahasa Inggeris: Kementerian diminta jangan terlalu berkeras
Penulis        : Marzita Abdullah
Sumber         : Utusan Malaysia
Mukasurat    : 1

Rencana yang ditulis oleh Marzita Abdullah merupakan laporan daripada hasil temu bual beliau dengan salah seorang wakil Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Laporan ini bertujuan untuk memberitahu pihak kementerian supaya tidak terlalu memaksa golongan pendidik dalam menggunakan Bahasa Inggeris semasa mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik. Menurut laporan, persoalan mengenai pelaksanaan dasar baru haruslah melalui fasa-fasa yang tertentu. Sistem pendidikan mestilah harmoni dan teratur dimana setiap pelaksanaan memerlukan tempoh masa untuk melihat hasilnya. Pihak kementerian harus memahami masalah yang dihadapi oleh para guru sebelum sebarang tindakan disiplin dikenakan. Penulis juga melaporkan setiap dasar baru yang dilaksanakan sekurang kurangnya memerlukan tempoh masa dua tahun untuk menilai hasilnya. 

Persoalan lain yang dilaporkan adalah pengawasan yang kurang memuaskan daripada pihak sekolah dalam pelaksanaan PPSMI ini. Situasi tersebut ditolak kerana setiap sekolah mempunyai guru besar, pengetua, guru penolong kanan atau guru pakar yang sentiasa mengawasi perkembangan guru-guru tersebut. Para guru perlu diberi tempoh masa tertentu selain menyediakan latihan, insentif dan kemudahan dalam melaksanakan PPSMI.Berdasarkan rencana tersebut, didapati segelintir para pendidik menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pihak kementerian yang menggesa para guru dalam pelaksanaan dasar PPSMI ini. 

Saya bersetuju dengan pendapat yang dilaporkan oleh penulis dimana setiap dasar baru yang dilaksanakan memerlukan tempoh masa atau fasa bermula dengan perancangan, rintis, transisi dan semak semula. Hasil daripada semakan akan menentukan sama ada perubahan dasar itu perlu diteruskan mahupun tidak. Tindakan yang terburu-buru tidak wajar diambil oleh pihak kementerian tanpa melakukan usul periksa terlebih dahulu. Justeru, dalam melaksanakan dasar baru, semua pihak harus bekerjasama dan bersatu hati dalam memastikan pelaksanaan dasar tersebut membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada semua golongan yang terlibat.

Tuesday, 17 November 2015

Ulasan Jurnal 6

a)                Tajuk          : Mata Pelajaran Sains, Matematik bagi UPSR, PMR dan SPM mulai 2003:
                     Peperiksaan guna Bahasa Inggeris
Penulis       : Sahbulah Mohamad Darwi
Sumber       : Utusan Malaysia
Mukasurat   : 8

Rencana ini ditulis oleh Sahbulah Mohamad Darwi berikutan susulan pelaksanaan dasar PPSMI pada tahun 2003. Laporan ini bertujuan untuk memberi maklumat kepada para guru, pelajar dan juga ibu bapa tentang perubahan sistem peperiksaan yang digunakan. Penulis menggunakan kaedah temu bual bersama Timbalan Menteri Pendidikan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai peperiksaan guna Bahasa Inggeris. Menurut laporan penulis, pelaksanaan serentak Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini dijalankan di sekolah rendah dan juga menengah, iaitu dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Pihak kementerian meminta semua pihak yang terlibat termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dalam menjayakan dasar kerajaan tersebut. 

Selain itu, penulis melaporkan dimana pihak kementerian akan menyusun semula metadologi, strategi perancangan dan penterjemahan buku teks dan bahan pembelajaran yang lain. Seterusnya, penulis menemu bual Presiden Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP) dalam mendapat maklum balas mengenai pelaksanaan sistem tersebut. Menurut laporan, sokongan daripada semua pihak penting dalam mengetengahkan Bahasa Inggeris dan memastikan kecemerlangan pelajar dari aspek akademik, disiplin dan baik budi pekerti.


Berdasarkan rencana ini, didapati pelaksanaan PPSMI ini mendapat sokongan penuh daripada beberapa persatuan guru dan juga ibu bapa. Pelbagai kaedah telah dilakukan oleh pihak kementerian, para guru dan juga NGO dalam memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan dengan lancar. Saya bersetuju dan sependapat dengan penulis dimana kerjasama yang padu penting dalam menghasilkan atau menjayakan sesuatu dasar baru. Usaha kerajaan dalam mengetengahkan Bahasa Inggeris dapat memberi manfaat kepada anak bangsa seterusnya melahirkan pelajar yang berjaya dalam pelajaran dan kehidupan dengan mengambil kira segala aspek rohani dan jasmani.

Sunday, 15 November 2015

Ulasan Jurnal 5

a)            Tajuk             : Kemajuan Matematik Sains Dalam Bahasa Inggeris Dihebah
         Penulis        : Syuhada Choo Abdullah
         Sumber      : Berita Harian 
         Mukasurat  : 8


Rencana yang ditulis oleh Syuhada Choo Abdullah ini merupakan laporan susulan dari pelaksanaan PPSMI dalam pendidikan Malaysia. Laporan ini bertujuan untuk memberitahu orang ramai tentang keberkesanan pelaksanaan PPSMI di sekolah kepada pelajar dan juga sekolah. Penulis telah menggunakan kaedah temu bual dengan Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Dr Syarifah Maimunah Syed Zain sebagai responden. Hebahan yang dibuat adalah bertujuan untuk mendedahkan impak pelaksanaan dasar PPSMI daripada pelbagai sudut seperti pencapaian, aktiviti yang dijalankan serta amalan terbaik kepada lebih banyak pihak.

Dalam rencana ini, persoalan yang dibincangkan penulis adalah tentang kesan daripada pelaksanaan dasar PPSMI di sekolah-sekolah. Hasil temu bual mendapati bahawa pihak kerajaan telah mendapat maklum balas yang sangat baik dari para pelajar, guru, ibu bapa dan juga Pejabat Pendidikan Daerah. Pencapaian terhadap dasar ini juga telah disahkan oleh Jemaah Nazir Sekolah yang mendapati guru-guru berkeyakinan tinggi dalam menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar semasa pemantauan di sekolah-sekolah.

Persoalan kedua yang dibincangkan penulis ialah cara meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru. Menurut hasil kajian, guru-guru masih diberikan kursus Bahasa Inggeris secara berterusan untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Pelajar pula diyakini akan terus memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris dalam sesi pembelajaran. Pelbagai kaedah pengajaran yang kreatif mula digunakan seperti penggunaan alat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menarik minat pelajar dalam sesi pembelajaran di bilik darjah. Sesi pembelajaran juga tidak dilimitkan di dalam kelas tetapi guru-guru boleh membawa pelajar ke pelbagai lokasi mengikut kesuaian bagi memastikan sesi tersebut berkesan.


Berdasarkan rencana ini, saya berpendapat bahawa cara pelaksanaan dasar PPSMI sangat mempengaruhi kesannya terhadap para pelajar. Selain guru, ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan untuk menyokong anak-anak dan meletakkan mindset yang positif dalam diri anak-anak bagi menjalani sesi pembelajaran menggunakan bahasa asing. 

Friday, 13 November 2015

Ulasan Jurnal 4

a)            Tajuk Artikel Majalah : Mengantarabangsakan Sistem Pendidikan melalui Pengajaran
                            dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris 
         Penulis     : Tunku Munawirah Putra
         Sumber     : Scientific Malaysian Magazine, November 2, 2012 in Issue 3/2012

Artikel yang ditulis oleh Tunku Munawirah Putra ini membincangkan mengenai impak pelaksanaan dan pemansuhan PPSMI. Menurut beliau, sasaran negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk mempunyai lebih ramai penyelidik, saintis dan jurutera tidak berjaya. Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) pula ditugaskan untuk memupuk dan mengekalkan modal insan kelas pertama dunia. Menurut beliau, PPSMI dapat membantu sasaran negara dalam menghasilkan modal insan kelas pertama. Namun, persoalan lain pula timbul dimana pemansuhan dasar PPSMI dan digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). 

Menurut penulis, liberalisasi dalam pendidikan telah berlaku dimana hanya golongan elit yang mampu ke sekolah antarabangsa sahaja yang menggunakan dasar PPSMI ini. Semua orang berhak untuk menerima pendidikan yang berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi mereka. Walaupun dasar PPSMI adalah satu dasar Sains dan bukan dasar bahasa, kesan positif terhadap subjek Bahasa Inggeris dapat dilihat. Tanpa PPSMI, pendedahan pelajar kepada Bahasa Inggeris semakin berkurangan dan merosot. Penulis menyatakan keseimbangan haruslah dicapai untuk memiliki ilmu pengetahuan yang lebih mendalam seiring dengan kemajuan Sains dan Teknologi dunia. Bahasa Malaysia mempunyai kelebihannya yang tersendiri terutama dalam bidang seni, sastera dan sebagainya. Lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan negara maju yang lain sekiranya Bahasa Inggeris digunakan dalam bidang Sains dan Teknologi.


Berdasarkan petikan tersebut, saya sangat bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh penulis. Pelaksanaan dasar PPSMI mampu memacu negara ke arah yang lebih baik dan masyarakat kita bukan hanya sebagai pengguna tetapi sebagai pencipta atau pereka teknologi. Liberalisasi dalam pendidikan tidak harus berlaku kepada negara maju. Pendidikan amat penting kepada anak bangsa dan status sosioekonomi tidak harus dipersoalkan dalam melahirkan modal insan kelas pertama. Dalam dunia Sains dan Teknologi kini, Bahasa Inggeris sangat penting dalam mendalami dan memahami ilmu pengetahuan. Saya berpendapat, walaupun PPSMI ini dilaksanakan, Bahasa Kebangsaan tidak akan dilupakan oleh anak bangsa kerana kita masih menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda kita. 

Thursday, 12 November 2015

ELTC: Tingkat Kecekapan BI, PPPM Gelombang 2 2016-2020

ELTC: Tingkat Kecekapan BI, PPPM Gelombang 2 2016-2020

[Buletin Utama TV3 11 September 2015]ELTC: Tingkat Kecekapan BI, PPPM Gelombang 2 2016-2020

Posted by Kementerian Pendidikan Malaysia on Monday, October 12, 2015

Sumber : Buletin Utama TV3, 11 September 2015

Tuesday, 10 November 2015

Tugasan 4 - Bahasa Pengantar

Tugasan 4 merupakan tugasan berkumpulan, di mana kami menggunakan bahan maujud untuk sesi pembentangan. Tugasan ini membincangkan tentang isu bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Penulisan ilmiah (berkumpulan) hasil dari tugasan 4 adalah seperti berikut.


Selain itu, tugasan ini memerlukan pendapat setiap individu dalam kumpulan terhadap isu ini. Berikut merupakan pandangan dan pendapat saya tentang isu ini.


Semoga bermanfaat!

Ulasan Jurnal 3

a)            Tajuk Artikel Majalah: Pendedahan Realiti PPSMI
         Penulis    : Jason Lai & Lai Pik Yien
         Sumber    : Scientific Malaysian Magazine, June 4, 2012 in Issue 2/2012

Artikel ini adalah hasil daripada pandangan dan juga tinjauan Jason Lai dan Lai Pik Yien. Menurut penulis, PPSMI ini merupakan cetusan idea oleh Tun Dr Mahathir Mohammad yang telah dilaksanakan pada tahun 2003. Pada masa kini, dasar ini telah dimansuhkan dan digantikan dengan Bahasa Melayu. Pemansuhan dasar ini menimbulkan masalah kepada para pendidik dan juga pelajar. Berdasarkan tinjauan penulis, prestasi sekolah dalam Matematik dan Sains meningkat selepas PPSMI diperkenalkan dan tiada perbezaan statistik yang signifikan  antara sekolah Bandar dan juga luar Bandar. Selain itu, prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih positif berbanding daripada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). 

Menurut penulis, pencapaian akademik di sekolah bukan semata-mata bergantung kepada pilihan bahasa, tetapi bergantung pada kualiti guru sekolah. Seterusnya, pengurusan PPSMI perlu bersifat inovatif dalam merancang dan melaksanakan dasar tersebut. Persoalan yang diutarakan oleh penulis adalah perbezaan sosio-ekonomi yang berlaku di Malaysia. Jika PPSMI ini diteruskan, masalah sosial akan wujud dalam konteks pelbagai kaum di Malaysia. Penulis membandingkan sistem pendidikan negara dengan negara yang lain seperti Belgium, Netherlands dan Switzerland di mana mereka mahir dalam Bahasa Inggeris tanpa membelakangkan Bahasa Kebangsaan mereka sendiri.

Berdasarkan artikel tersebut, didapati terdapat kebaikan dan juga keburukan yang diperoleh daripada pelaksanaan dasar PPSMI. PPSMI mungkin memberi kesan positif kepada prestasi sekolah, namun ianya bergantung kepada peranan pendidik. Guru memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat pelajar dalam mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Pengurusan PPSMI yang sistematik dan teratur dapat membantu para pendidik dan juga pelajar dalam mengakses perkembangan baru dalam bidang Sains dan teknologi dalam dunia globalisasi. PPSMI bukan bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa semata-mata, tetapi untuk memudahkan para pelajar dalam mendalami ilmu sains yang sentiasa berkembang dari hari ke hari. Sistem pendidikan yang bermutu dan telus dapat mewujudkan dan meningkatkan taraf pendidikan negara kita serta menyumbang kepada pencapaian pelajar yang lebih baik agar boleh berdiri di sebelah atau setanding dengan Negara maju yang lain. Walaupun PPSMI ini dijalankan, Bahasa Kebangsaan tidak akan dipinggirkan oleh masyarakat sejagat.

Friday, 6 November 2015

Tugasan 3 - Akses dan Ekuiti

Tugasan 3 merupakan tugasan individu dan hanya mengandungi penulisan ilmiah tanpa sebarang pembentangan. Tugasan ini membincangkan tentang isu yang berkaitan dengan hak dan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

Berikut merupakan hasil tugasan yang disiapkan secara individu.


Semoga bermanfaat!

Thursday, 5 November 2015

Ulasan Jurnal 2

a)           Tajuk Tesis: Pandangan Pelajar Tingkatan Dua di Sebuah Sekolah Berasrama Penuh
                    dan Sekolah Harian di Daerah Dungun Mengenai Pembelajaran Matematik
                     dalam Bahasa Inggeris.
Penulis       : Wan Norazian Binti Wan Ali
Sumber      : Koleksi Tesis, Perpustakaan Tunku Bainun, UPSI

Tesis ini adalah hasil kajian pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik), iaitu Wan Norazian Binti Wan Ali tentang isu pembelajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris. Penulis menggunakan sampel seramai enam orang pelajar, iaitu tiga orang pelajar dari Sekolah Menengah Sains Dungun sebagai wakil sekolah berasrama penuh dan tiga orang pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Omar sebagai wakil sekolah harian. Kaedah temubual telah digunakan dan instrumen yang digunakan penulis ialah diri beliau sendiri dalam proses pengumpulan data untuk kajian ini.

Persoalan yang diutarakan oleh penulis adalah tentang minat pelajar untuk mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kajian menunjukkan pelajar dari sekolah berasrama penuh menunjukkan minat yang tinggi dan hanya minoriti pelajar sekolah harian menunjukkan minat untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam sesi pembelajaran subjek Matematik. Dalam hal ini, penulis berpendapat bahawa guru memainkan peranan penting dalam sesi pengajaran dan pembelajaran agar segala maklumat dapat disampaikan dengan berkesan kepada para pelajar. Seterusnya, peningkatan dalam pencapaian subjek Bahasa Inggeris. Majoriti pelajar sekolah berasrama penuh dan semua pelajar sekolah harian menafikan terdapatnya peningkatan dalam pencapaian subjek Bahasa Inggeris. Mereka berpendapat subjek Matematik lebih kepada nombor dan pemahaman konsep Matematik.

Berdasarkan tesis ini, saya mendapati penggunaan Bahasa Inggeris dalam sesi pembelajaran Matematik memberikan impak yang berbeza kepada pelajar yang berbeza latar belakangnya. Oleh itu, dalam memastikan pelaksanaan PPSMI tidak membawa kesan yang negatif kepada para pelajar, saya berpendapat guru memainkan peranan yang paling penting. Guru hendaklah pandai dan kreatif dalam memastikan topik yang diajar dapat difahami para pelajar dengan berkesan. Walaupun begitu, saya berpendapat agar guru-guru membiasakan penggunaan-penggunaan istilah dan kata kunci Matematik dalam Bahasa Inggeris agar memudahkan pelajar di masa hadapan.

Monday, 2 November 2015

Tips!!

Assalamualaikum.

Saya hendak berkongsi tips yang diperoleh dari laman sesawang "facebook" untuk memilih topik yang sesuai untuk dijadikan penyelidikan. Pengkaji hendaklah memilih topik-topik yang beliau berminat untuk kaji dan topik itu sebolehnya merupakan isu yang terkini.

Berikut merupakan video yang menunjukkan cara mudah untuk mencari tajuk untuk membuat penyelidikan.



Terdapat juga perkongsian cara mudah untuk menulis kajian literatur dengan menggunakan teknik snowballs. Berikut merupakan video yang menunjukkan langkah-langkah untuk membuat kajian literatur.


Ulasan Jurnal 1

Tajuk Tesis: Hubungan antara Pencapaian Sains dengan Tahap Pencapaian Bahasa
Inggeris bagi Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Bandar dan Luar Bandar di
Daerah Larut, Matang dan Selama.
Penulis  : Hishammuddin Bin Ahmad
Sumber : Koleksi Tesis, Perpustakaan Tunku Bainun, UPSI

        Tesis ini adalah hasil kajian pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains), ditulis oleh Hishammuddin Bin Ahmad membincangkan mengenai keberkesanan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara dalam pengajaran dan pembelajaran Sains. Menurut penulis, pendedahan awal kepada PPSMI memberi peluang dalam mengukuhkan asas bagi mendapat maklumat dan juga ilmu pengetahuan. Kajian yang dijalankan berbentuk korelasi untuk menentukan hubungan pencapaian Bahasa Inggeris dan Sains Tingkatan Satu di empat buah sekolah di Daerah Larut, Matang dan Selama, Perak. Penulis mengumpul data melalui ujian Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun 2004, serta temubual separa struktur. Perbezaan markah ini ditentukan secara purata. Pelajar yang terlibat adalah seramai 280 orang, data dianalisis melalui Statistical Package for Social Science (SSPS), software komputer. Hasil korelasi purata yang positif menunjukkan perhubungan yang terlibat secara terus dan keputusan pencapaian subjek Bahasa Inggeris mempengaruhi subjek Sains.

        Berdasarkan kajian tesis tersebut, didapati penggunaan Bahasa Inggeris ini memberi impak kepada pelajar dalam subjek Sains. Namun, ianya mungkin memberi kesukaran kepada pelajar yang berbeza latar belakangnya. PPSMI tidak memberi kesan negatif terhadap pendidikan pelajar kerana matlamat dasar PPSMI adalah untuk membolehkan pelajar mengakses maklumat yang berkaitan melalui pelbagai media dengan mudah. Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pelajar dan perlu kreatif dalam meningkatkan pencapaian pelajar. Bagi guru Sains, aktiviti yang dilakukan perlulah melalui pengalaman atau hands-on. Walaubagaimanapun, selain daripada guru, ibu bapa juga memainkan peranan dalam memberi galakan dan sokongan terhadap anak-anak mereka dalam melahirkan rasa minat untuk belajar. Justeru, pendidikan awal dalam Bahasa Inggeris penting dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing seiring dengan pembelajaran abad ke 21.